Kehadiran orang ramai di pasar-pasar berkurangan malah Semenanjung Gaza memperlihatkan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh 10 tahun, menambah duka menyambut kedatangan bulan mulia itu.

Israel melakukan serangan udara selama tiga hari hingga mengakibatkan 27 maut dan lebih 150 cedera merentasi semenanjung itu.

Pada pagi Ahad minggu lalu, kedengaran bunyi letupan bom dan tembakan artileri di sempadan timur Gaza manakala ratusan bedilan roket dilancar ke selatan Israel.

Jelas Ayman Abu Mohadi yang tinggal di kejiranan Al-Nasir, Gaza City, semua orang termasuk anaknya mengingati kesengsaraan ketika perang 2014 yang juga jatuh pada bulan Ramadan.

Dahulu dia terpaksa berbohong kepada anak bongsunya dengan menyatakan bunyi letupan adalah bunga api bagi membuatkan mereka berasa selamat.

“Kini mereka sudah besar dan saya tidak patut berbohong padanya lagi,” katanya yang tidak tahu di mana keluarganya dapat melarikan diri jika keganasan berlaku bertukar kepada perang.

Serangan baru-baru ini meng­akibatkan kerugian sekitar AS$5 juta (RM20.7 juta) berdasarkan penilaian awal beberapa jam selepas gencatan senjata dicapai kedua-dua pihak.

Pengarah Kementerian Buruh di Gaza, Naji Sarhan memberitahu, sebanyak 130 buah ru­mah musnah sepenuhnya ma­nakala 700 lagi premis rosak sebahagiannya.

Sehingga Disember tahun lalu, lebih 68 peratus keluarga Palestin bersamaan 1.3 juta orang menghadapi masalah bekalan makanan berikutan si­tuasi ekonomi yang teruk dan isu kemiskinan.

RUNTUHAN bangunan ekoran serangan udara Israel di Gaza City.
RUNTUHAN bangunan ekoran serangan udara Israel di Gaza City. 

Majoriti penduduk Palestin di Gaza bergantung kepada badan-badan kebajikan Islam dan kerajaan bagi mendapatkan makanan.

Bagaimanapun, penduduk Palestin tetap bertahan dengan kesungguhan mereka bagi me­nyambut Ramadan sebaiknya.

Amena Hamida, 59, membe­ritahu, dia membeli sayur-sa­yuran untuk membuat lauk tradisional Palestin, maqlouba yang dihidangkan pada hari pertama Ramadan.

Walaupun berdepan sera­ngan udara rejim Zionis, maqlouba perlu disiapkan untuk menggembirakan cucunya.

“Ini merupakan tahun ke-13 kami dikepung, apa Israel dan Gaza perolehi? Kanak-kanak di sini juga mahu menyambut Ramadan, pergi ke laut bersiar-siar dan bekerja selain mene­mani ibu bapa ke masjid dan bermain,” katanya.

Amena berdoa dan meminta kepada Allah agar keamanan dan kestabilan akhirnya akan dapat dicapai.