Al Jazeera melaporkan, tentera Israel menggunakan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang membunuh tiga remaja lelaki berusia 17 tahun manakala sekurang-kurangnya 207 lagi cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, mangsa pertama, Ta­mer Aby el-Khair ditembak pada bahagian dada di Khan Younis, selatan Gaza dan meninggal dunia di sebuah hospital.

“Remaja kedua, Adham Ama­ra meninggal dunia selepas ditembak pada bahagian muka di timur Gaza City. Sementara mangsa ketiga, Belal al-Najjar juga terbunuh kerana tembakan rejim Zionis,” kata jurucakap pihak berkuasa Gaza.

Rejim Zionis juga membunuh seorang pemuda Palestin, Mohamed Jihad Saad, 20, dalam satu demostrasi menjelang ‘Great March of Return’, kelmarin.

TUNTUT TANAH DIKEMBALIKAN KEPADA PALESTIN

Rakyat Palestin menuntut hak supaya tanah keluarga mereka yang dirampas secara kejam oleh rejim Zionis pada 1948 dikembalikan selain menggesa Israel dan Mesir supaya menghentikan kepungan selama 12 tahun ke atas Gaza.

“Kami akan bergerak ke arah sempadan walaupun kami akan mati. Kami tidak akan pergi, kami mahu kembali ke tanah kami,” kata Yusef Ziyada, 21,.

Menurut tentera rejim Zionis, kira-kira 40,000 orang berkumpul di kawasan sempadan walaupun hujan lebat.

Katanya, kebanyakan penunjuk perasaan telah menjauhi pagar tetapi batu, bahan letupan serta tayar dibaling dan dibakar menyebabkan mereka terpaksa bertindak balas terhadap pencetus rusuhan serta menembak mengikut prosedur operasi standard.

Menggambarkan perhimpunan tersebut berlaku secara aman, Mohammed Ridwan, 34, berkata, jumlah besar peserta protes adalah bukti bahawa rakyat Palestin tidak akan berganjak sehingga mereka mendapat hak mereka.

Seorang aktivis, Bahaa Abu Shammal, 26, berkata, kepu­ngan kejam yang dialami penduduk Palestin perlu dihentikan selain mendapat semula hak atas tanah mereka.

KANAK-KANAK DIBUNUH

Sejak setahun lalu, sempadan Israel-Gaza menjadi lokasi protes besar-besaran dan pertumpahan darah menyaksikan lebih 260 orang penduduk Pa­lestin terbunuh kebanyakannya akibat penembak hendap Israel.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, hampir 7,000 orang ditembak dan cedera.

Kumpulan hak asasi manusia, Save the Children berkata, mereka yang terbunuh antara­nya 50 orang kanak-kanak ketika 21 orang budak kudung anggota badan manakala selebihnya lumpuh.

“Kami bimbang lebih banyak kanak-kanak akan cedera atau terbunuh,” kata Pengarah Save the Children, Jeremy Stoner.

GENCATAN SENJATA HAMAS-ISRAEL

Mesir berusaha menjadi orang tengah antara Hamas dan Israel bagi mengelak keganasan dan tindak balas susulan tentera rejim Zionis berikutan pertempuran antara kedua-dua pihak, baru-baru ini.

Memetik laporan akhbar al-Risalah, kumpulan Hamas dikatakan mencapai persetujuan dengan Israel untuk mengurangkan ketegangan di Gaza.

“Israel dilapor bersetuju meningkatkan dana Qatar dari AS$15 juta (RM61 juta) kepada AS$ 40 juta (RM163 juta) sebulan untuk membayar gaji, meluaskan zon nelayan dari sembilan batu ke 12 batu nautika selain meningkatkan bekalan elektrik dari Israel ke Gaza.

“Sebagai balasannya, Israel mahu Hamas mengakhiri serangan roket sebagaimana insiden yang menghancurkan rumah sebuah keluarga di utara Tel Aviv pada Isnin lalu yang mencederakan tujuh orang,” kata laporan tersebut.

Sementara itu, Israel dilapor membuka semula pintu masuk Erez dan Kerem Shalom antara wilayah itu dan Genting Gaza hari ini selepas menutupnya hampir seminggu berikutan serangan roket Hamas ke Israel.– AGENSI