Orang Melayu yang mewa­kili 70 peratus daripada kira-kira 400,000 orang penduduk Brunei dilapor secara terbuka mengalu-alukan langkah yang diperkenankan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Seorang pekerja syarikat gas dan minyak, Muhammad Antoni, 27, berkata, dia berasa bangga dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan.

“Kami merasakan pelaksanaan kanun jenayah itu me­ngukuhkan lagi identiti Islam di Brunei,” katanya, semalam.

Seorang lagi penduduk, Haziah Zainal pada masa sama melahirkan kekesalannya de­ngan kempen digerakkan selebriti dan pelbagai pertubuhan yang mahu memboikot sembilan buah hotel dimiliki Sultan Brunei di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Berkenaan gesaan selebriti mahu memboikot hotel itu, ini bukannya negara mereka.

“Gesaan itu dilihat jahil kerana mereka tidak pernah berada di sini untuk merasai pengalaman situasi tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat juga komen pengguna dalam laman Reddit menyatakan kebimba­ngan mereka terhadap perkembangan ekonomi Brunei yang berkemungkinan mendorong syarikat asing menarik balik pelaburan mereka.

Bagaimanapun menurut pakar antarabangsa, agak sukar untuk meneka tahap sokongan rakyat kerana rakyat Brunei tidak akan mengkritik Sultan Brunei secara terbuka.

“Brunei sudah menjadi Arab Saudi Asia Tenggara. Kerajaan­nya semakin bergantung kepada kewajaran agama yang menarik ideologi Islam konservatif.

“Ekonomi yang semakin lemah di Brunei serta kebimbangan mengenai penurunan sokongan mendorong kepada kebergantungan kepada agama,” kata pakar Asia Tenggara dari Universiti John Cabot, Bridget Welsh.

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan pelaksanaan undang-undang syariah sebagai tidak berperikemanusiaan dan kejam, komen yang menyusul selepas aktor, George Clooney menyeru kempen boikot ke atas hotel-hotel milik Sultan Brunei. – AFP