Wajah girang Oliver Price ketika dia pertama kali berjalan menggunakan bantuan walker di sekitar wad kanak-kanak di Hospital Royal Manchester dalam video berdurasi 1.41 minit itu merupakan memori yang tidak akan dilupakan ibunya, Hayley, 26, serta bapanya, Joe, 29.

Menurut porta berita metro.uk, tidak lama selepas video itu diambil, bayi berusia 15 bulan itu dibawa ke bilik pembedahan bagi menjalankan prosedur selama hampir empat jam untuk memotong bahagian betis kaki kirinya yang mengalami tumor saraf besar dikenali sebagai schwannoma plexiform.

Video berkenaan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang bersimpati dengan nasib bayi comel itu dan turut dimuat naik beberapa kali di laman Youtube.

Hayley memberitahu akhbar Manchester Evening News, dia menyedari ketumbuhan luar biasa tersebut sejak Oliver dilahirkan tetapi terpaksa menunggu sehingga enam bulan sebelum mengetahui masalah sebenar pada kaki bayinya.

“Beberapa hari selepas dilahirkan, saya melihat terdapat dua bintik merah di kaki kiri Oliver namun setiap kali saya memberitahu doktor ketika membuat pemeriksaan mereka kata jangan bimbang kerana itu hanyalah tanda lahir.

“Kesan itu bagaimanapun mula membengkak dan selepas berusaha mendapatkan rawatan pakar, mereka mengesahkan terdapat ketumbuhan di belakang lutut anak saya,” jelasnya.

Katanya, mereka berterima kasih kepada pasukan perubatan dan jururawat yang sentiasa memberi sokongan. Oliver juga semakin pulih dan dijangka mempunyai kaki prostetik yang akan dipasang pada September ini.