Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam, Raja Abdullah turut meminta proses damai Asia Barat dikembalikan selain menyuarakan kebimbangan tentang masalah kewangan dihadapi Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

“Kita perlu memberikan so­kongan penuh terhadap pembiayaan UNRWA dan usaha pen­ting yang lain bagi melin­dungi keluarga, kestabilan komuni­ti serta membantu golongan mu­da bersedia untuk menjalani kehidupan lebih produktif.

“Adalah satu kesilapan besar membiarkan generasi muda ini terjebak dalam kegiatan radikal dan kerosakan. Bantuan seperti ini amat diperlukan bagi memastikan UNRWA dapat memenuhi tanggungjawab mereka sejajar dengan mandat diberikan PBB,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang merupakan penyokong tegar Israel menghentikan keseluruhan bantuan berjumlah AS$350 juta (RM1.4 bilion) disalurkan oleh AS setiap tahun kepada UNRWA.

Ketiadaan bantuan AS yang merupakan penyumbang terbesar UNRWA menjadikan agensi berkenaan berdepan krisis kewangan serius, khas­nya di Genting Gaza yang me­nempatkan sekolah dikendalikan PBB untuk lebih 200,000 pelajar Palestin.

Jordan yang menjadi tempat perlindungan bagi hampir 2.2 juta pelarian Palestin, separuh daripada penduduk negara itu akan menganjurkan mesyua­rat pada perhimpunan PBB ini de­ngan harapan ia mampu mendapatkan dana untuk UNRWA.

Walaupun Jordan menjalinkan hubungan diplomatik bersama Israel, Raja Abdullah II menolak cadangan penyelesaian satu negara yang antara lain akan menjadikan semua penduduk Palestin sebagai rakyat Israel.

Abdullah berkata, cadangan itu mempunyai realiti buruk dan tidak demokratik.

“Tidak ada perjanjian sepihak, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua pihak untuk membuat persetujuan.

“Membantu pihak-pihak mencapai kesepakatan itu dan bekerjasama untuk membina masa depan baharu, memerlukan sokongan kuat dan berte­rusan dari seluruh dunia,” kata Raja Abdullah II. – AFP