Lapor Mail Online, Duncan Murrell, 65, menjalankan ekspedisi melawat pulau-pulau di Raja Ampat selama sebulan dan berhenti di sebuah perkampungan nelayan yang mengagumkan.

Ketika dia tiba di situ, kawasan pantainya sangat bersih dan airnya jernih, bebas tanpa sebarang sampah sarap.

Namun keesokan paginya, Murrell terkejut apabila mendapati pantai terbabit dipenuhi dengan timbunan sampah yang dibawa arus laut dari negara-negara lain.

Murrell mendapati penduduk tempatan akan membersihkan timbunan sampah di kawasan pantai setiap kali dilanda cuaca berangin pada waktu malam.

Disebabkan pulau berkenaan tidak dapat menjalankan proses kitar semula, kesemua sampah itu akan dilonggokkan di dalam hutan paya bakau yang terletak beberapa kilometer dari kawasan pantai.

Perkampungan kecil itu terletak di tengah-tengah ‘Segi Tiga Batu Karang’, salah satu bahagian yang kaya dengan ekologi di dunia dan mempunyai hampir 600 spesies batu karang, enam daripada tujuh spesies penyu di dunia serta lebih 2,000 spesies ikan.

Kawasan itu kekal bersih ke­rana kedudukannya yang terpencil namun dikhuatiri diancam kemusnahan oleh pembuangan sampah tidak terkawal dari negara-negara lain.

“Saya sangat sedih. Saya berasa sangat marah kerana kampung ini sebahagian daripada Segi Tiga Batu Karang.

“Tempat ini sedang dimusnahkan. Tempat ini menunggu masa untuk mati. Kita tidak boleh mempromosikan tempat ini tanpa melindunginya,” katanya.