Oddity Central melaporkan, Beau Jessup, 19, melakukan perkhidmatan tersebut secara dalam talian menerusi portal yang diberi nama Special Name.

Memilih nama anak merupakan perkara penting di China bagi memastikan nama tersebut membawa maksud yang baik dan bertuah.

Namun, untuk memilih nama Inggeris, golongan ibu bapa di negara itu berdepan kesukaran terutamanya dalam aspek komunikasi memandang­kan ramai dalam kalangan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Jessup mengambil peluang membantu golongan tersebut untuk memilih nama bagi anak-anak mereka.

Bagi caj bayaran rendah, Jessup akan mencadangkan beberapa nama yang mempu­nyai sifat serta maksud berbeza seperti kejujuran dan bercita-cita.

Dalam tempoh tiga tahun setengah, remaja itu membantu memilih nama untuk 677,900 kanak-kanak China dan memperoleh kira-kira AS$400,000 (RM1.6 juta).

Remaja itu mendapat idea untuk menubuhkan portal Special Name pada 2015 selepas menemani bapanya ke China dan seorang daripada rakan perniagaan bapanya meminta Jessup membantu dia memilih nama Inggeris untuk anak pe­rempuannya yang berusia tiga tahun.

Jessup berasa gembira de­ngan permintaan itu dan memilih nama Eliza untuk kanak-kanak perempuan itu yang menunjukkan sifat ‘mampu mencipta kejutan’.

Selepas pulang ke United Kingdom (UK), Jessup meminjam sejumlah duit daripada ibu bapanya dan menubuhkan Special Name yang turut dilengkapi dengan bahasa Cina untuk memudahkan pengguna.

Perniagaan tersebut ter­nyata berbaloi apabila remaja perempuan itu menggunakan pendapatannya untuk membia­yai yuran pengajian di universiti serta membuat pelaburan hartanah. – AGENSI