Trak pikap yang dilengkapi pembesar suara serta menampilkan poster besar menyusuri jalan menyebarkan pesanan, usaha serta aspirasi parti-parti bertanding menjelang pilihan raya umum Thailand Ahad ini.

Sejak beberapa minggu lalu, calon dan pemimpin parti membuat penampilan di pasar-pasar serta mengadakan ceramah dan perhimpunan selain majlis ramah mesra bagi menyampaikan mesej masing-masing dalam usaha memenangi hati dan jiwa rakyat.

Bagaimanapun segala aktiviti kempen akan tamat pada pukul 6 petang (waktu tempatan) esok sebelum warga Thailand ke peti undi pada Ahad untuk menunaikan tanggungjawab bagi menentukan masa depan negara. Ini merupakan pilihan raya pertama dalam tempoh lapan tahun selepas tentera mengambil alih pentadbiran Thailand melalui rampasan kuasa.

Persoalan yang bermain di fikiran setiap orang ialah sama ada pilihan raya yang ditunggu-tunggu ini akan menandakan bermulanya demokrasi. Rampasan kuasa oleh tentera bukan perkara baharu bagi rakyat Thailand.

Lebih 51 juta pengundi termasuk 7.33 juta pemilih pertama kali dijangka mengundi pada hujung minggu ini untuk memilih 500 wakil ke Parlimen dengan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan sementara baki 150 akan dipilih melalui senarai parti.

Penganalisis politik menjangka jumlah pengundi yang keluar pada Ahad ini akan mencatat sejarah sebagai yang tertinggi sejak 2007 berikutan wujud perubahan ketara dari segi harapan dan juga penyertaan parti politik pada pilihan raya kali ini.

"Rakyat Thai benar-benar mahukan perubahan," kata pensyarah di Pusat Penyelidikan Komuniti ASEAN, Naresuan University, Dr. Paul Chambers kepada Bernama.

Beliau yang membuat anggaran itu berdasarkan jumlah pengundi awal yang keluar mengundi pada 17 Mac lepas berkata, pada pilihan raya umum 2007 yang juga diadakan semasa pemerintahan tentera, jumlah pengundi yang keluar mencecah 75 peratus.

Sementara itu, Chambers berkata, Phue Thai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berkemungkinan besar akan memenangi pilihan raya Ahad ini namun tidak mempunyai angka 'ajaib' 376 kerusi bagi membentuk kerajaan.

"Jika tiada parti berjaya membentuk kerajaan, tentera akan terus menjadi 'kerajaan sementara' sehingga pilihan raya baharu diadakan mungkin pada 2020.

"Kesimpulannya, hampir kesemua senario selepas pilihan raya memihak kepada tentera. Ini adalah 'permainan' mereka yang diatur menerusi perlembagaan dan mereka tidak akan menyerahkan kuasa dengan mudah," katanya.

Berdasarkan perlembagaan baharu, Perdana Menteri baharu akan dipilih oleh 750 anggota Parlimen iaitu 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 anggota Dewan Senat.

Sesebuah parti politik perlu menang 376 kerusi susulan sistem pemilihan baharu bagi membolehkannya melantik Perdana Menteri.

Menurut perlembagaan baharu, kesemua 250 anggota Senat dilantik oleh tentera. Sebelum ini hanya anggota Dewan Perwakilan mengundi untuk memilih Perdana Menteri.

Seramai 68 orang bertanding untuk jawatan Perdana Menteri kali ini termasuk Perdana Menteri semasa yang juga Ketua Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman, Jeneral Prayuth Chan-o-cha (Parti Palang Pracharat).

Calon lain termasuk bekas Perdana Menteri dari 2009 hingga 2011, Abhisit Vejjajiva (Demokrat), Khunying Sudarat Keyuraphan, Chadchart Sittipunt dan Chaikasem Nitisiri (calon-calon Pheu Thai) serta Thanatorn Juangroongruangkit (Future Forward).

Survei oleh Kolej Inovasi Sosial Rangsit University menyatakan Prayut berkemungkinan besar menjadi Perdana Menteri dengan populariti tertinggi pada 29.3 peratus, diikuti Abhisit (17.7 peratus) dan Khunying (14.7 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 86.98 peratus daripada 2.6 juta pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada 17 Mac lepas.

Chambers berkata, jumlah undi yang sangat tinggi bagi Phue Thai dan sekutunya berkemungkinan besar mendorong perubahan rejim.

"Namun jika jumlah yang keluar mengundi kurang dan parti rejim Palang Pracharat pula memiliki kelebihan dari segi perlembagaan berbanding parti-parti lain, maka keputusannya adalah sama ada Palang Pracharat akan menang atau tentera akan terus berkuasa," katanya. – BERNAMA