Kerajaan junta Thailand sebelum ini beberapa kali menangguhkan pilihan raya yang sepatutnya dijadualkan pada November lalu selepas mengambil alih tampuk pentadbiran dalam satu rampasan kuasa pada 2014.

Pada bulan lalu, perubahan telah dibuat terhadap undang-undang pilihan raya yang menyaksikan berkemungkinan diadakan pada awal 2019, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong demokrasi di beberapa buah tempat di seluruh negara termasuk di Bangkok, chiang Mai dan Khon Kaen.

Aktivis dari Kumpulan Pemulihan Demokrasi (DRG), Rangsiman Rome menyatakan pihaknya akan mengadakan satu tunjuk perasaan mulai esok di wilayah Nakhon Ratchasima dan kemudian di Bangkok pada Sabtu depan, meminta supaya pilihan raya diadakan.

Kumpulan itu juga mengumumkan tunjuk perasaan akan diadakan pada 10 dan 24 Mac ini dan setiap hari sabtu dalam bulan Mei.

“Kami akan menjadikan bulan Mei sebagai bulan untuk semua rakyat Thailand memikirkan tentang pilihan raya dan bagaimana negara ini perlu berfungsi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Kolonel Winthai Suvaree memberitahu Reuters bahawa kerajaan tidak akan terjejas de­ngan rancangan untuk mengadakan tunjuk perasaan tersebut dan akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk melakukan kawalan keselamatan.

Pada awal minggu ini, kerajaan junta mengemukakan saman terhadap tujuh ahli DRG dan 43 penunjuk perasaan kerana terlibat dalam perhimpunan haram di sini pada Sabtu lalu. – REUTERS