Politik Indonesia ternyata pelbagai warna semasa proses Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) dengan Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya, ditentang musuh ketat politiknya, Prabowo Subianto.

Namun semalam, mereka bertemu, bersalaman, bersi­laturrahim dalam suasana cukup harmoni, makan bersama, berjalan beriringan, yang ternyata amat menggembirakan rakyat Indonesia.

Seorang warga Indonesia, Asep Budiman, 43, yang beker­ja sebagai pemandu teksi online di Jakarta, ketika ditanya berkenaan politik Indonesia, berkata; “Politik di Indonesia ini, seperti bola sepak. Mereka berlawan- lawan di liga tempatan, berlawannya itu sehingga bermati-matian.

“Tetapi selepas selesai liga tempatan (pilihan raya) dan telah ada pemenangnya, maka mereka kembali bersatu, menu­buhkan pasukan kebangsaan, demi rakyat, demi negara..., lima tahun lagi, baru mereka kembali berlawan,” katanya.

 

Jokowi menerusi ciapan akaun twitternya berkata, pertemuannya dengan Prabowo di Stesen MRT Jakarta semalam, sudah lama dirancang, namun hanya berlaku semalam kerana kesibukan kedua-dua mereka dalam pelbagai urusan.

Pada 27 Julai lepas, Presiden Jokowi, disahkan memenangi Pilpres 2019 apabila Mahkamah Konstitusi Indonesia menolak permohonan Prabowo, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Pengumuman keputusan Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas juga mencetuskan beberapa insiden rusuhan di Jakarta yang mengorbankan sembilan nyawa.

“Ramai yang bertanya kenapa saya belum mengucapkan tah­niah kepada Pak Jokowi ­ (a­ta­s kemenangan dalam Pilpres).

“Saya ingin mengucapkannya secara bersemuka..” kata Prabowo yang dipetik media tempatan, yang turut mengucapkan selamat bertugas kepada Jokowi, yang juga telah menewaskannya pada Pilpres 2014.–BERNAMA