Al-Jazeera difahamkan kesan asid ditemukan di kediaman Konsul Besar Arab Saudi, di Istanbul di mana mayat wartawan itu dipercayai dilupuskan dengan menggunakan bahan kimia.

Kediaman itu terletak berdekatan dengan Konsulat Arab Saudi, tempat yang menyaksikan Jamal, kolumnis Washington Post yang kritikal terhadap kerajaan Arab Saudi dan Putera Mahkota, Mohammed Salman, dibunuh pada 2 Oktober lalu.

Pegawai Turki dan Saudi telah menjalankan pemeriksaan bersama konsulat dan kediaman Konsul Besar, tetapi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata, beberapa pegawai Arab Saudi masih cuba untuk menutupi jenayah itu.

Presiden Turki yang berulang kali menuntut Arab Saudi supaya memberikan lebih banyak maklumat juga telah meminta pegawai Arab Saudi untuk menyatakan siapa di Riyadh yang menghantar satu pasukan 15 anggota untuk membunuh Khashoggi.

“Mereka melakukannya dengan menghantar pakar kimia (ke konsulat dan kediaman Konsul Besar) untuk memusnahkan bukti.

“Mereka juga menafikan permintaan Turki untuk sekali lagi mengeledah kediaman Konsul Besar, selepas Turki menemukan sampel bahan kimia di taman kediaman itu,” katanya.

Ketua pendakwa Istanbul berkata pada 31 Oktober, Khashoggi telah dicekik sebaik sahaja dia masuk ke konsulat dan badannya dikerat, dalam kenyataan rasmi pertama kali berkaitan kes itu.

Arab Saudi memaklumkan telah menahan 18 individu dan menyingkirkan lima pegawai kanan kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pembunuhan Khashoggi meskipun Ankara mahu suspek dihantar ke Turki.

Penasihat Recep Tayyip, Yasin Aktay memberitahu Al-Jazeera selepas ketua pendakwa Saudi, Saud al-Mojeb meninggalkan Istanbul, lawatan itu mengecewakan dan tidak memberikan apa-apa kerana pegawai Arab Saudi dilihat hanya mahu mendapatkan maklumat yang Turki ada tentang pembunuhan dan bukan berkongsi maklumat secara bersama dengan kes ber­kenaan.

Turki telah menyerahkan rakaman berkaitan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi kepada Arab Saudi, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Britain, menurut Presiden Tayyip Erdogan.

Sumber sebelum ini menyatakan pihak berkuasa mempunyai rakaman audio yang kononnya mendokumentasikan pembunuhan itu.

Beliau berkata demikian sebelum berlepas ke Perancis untuk menghadiri peringatan ulang tahun ke-100 penghujung Perang Dunia Pertama.

Erdogan berkata Arab Saudi mengetahui pembunuh Khashoggi adalah antara sekumpulan 15 individu yang tiba di Turki satu hari sebelum tarikh pembunuhan pada 2 Oktober lalu. -REUTERS