Sehari selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada bekas Perdana Menteri, Stephen Harper, fokus dunia kini bukan kepada janji pemimpin Parti Liberal itu untuk tidak lagi melibatkan Kanada dalam misi pertempuran menentang militan Negara Islam (IS) atau beberapa perkara lain.

Sebaliknya, ramai yang lebih tertarik dengan beberapa keping gambar Trudeau tanpa pakaian dengan tatu di bahu seperti seorang peninju yang diambil pada tahun 2012 ketika beliau menyertai sebuah perlawanan tinju amal.

Namun, jurulatih tinju Trudeau, Kevin Reynolds, menolak kemungkinan bekas muridnya itu tidak akan diberi perhatian serius oleh masyarakat dunia berdasarkan bakat kepemimpinannya.

“Seorang lelaki dengan semangat perjuangan yang tinggi biasanya tidak banyak bersuara, kelihatan tenang, tetapi mampu melaksanakan tugas dengan baik. Saya percaya itu adalah kekuatan terbesar Trudeau,” katanya.

Pemilihan Trudeau, 43, menjadikan beliau sebagai perdana menteri kedua termuda dalam sejarah Kanada dan dijangka bakal membawa aura glamor ke Ottawa seperti bapanya, bekas Perdana Menteri Kanada, Pierre Trudeau, yang juga merupakan bintang rock terkenal.

Profesor University Buffalo, Cecil Foster berpendapat, perdana menteri muda itu akan mengembalikan fenomena ‘Trudeaumania’ yang dicetuskan bapanya ketika tahun 70-an.

“Bapanya dilantik pada tahun 1968 dan memegang jawatan selama hampir 15 tahun menerusi gelombang sokongan popular dipanggil ‘Trudeaumania’ sehingga setiap kali beliau turun berjumpa dengan rakyat, wanita-wanita pasti terpegun melihatnya,” katanya.

Selain Trudeau, antara pemimpin muda yang turut mendapat perhatian termasuk Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi dan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto.