Pesawat Boeing 737 terbabit dikatakan cuba mendarat di Lapangan Terbang Weno di Micronesia tetapi gagal dan akhirnya separa tenggelam dalam lagun selepas kejadian malang itu pagi semalam.

Beberapa keping gambar dan video yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan penduduk tempatan menaiki bot kecil untuk menyelamatkan para penumpang dan kru pesawat.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu, tiada kecederaan serius dilaporkan.

“Air Niugini mengesahkan kesemua mereka yang berada dalam pesawat itu berjaya diselamatkan.

“Syarikat kami melakukan segala usaha bagi memastikan keselamatan dan keperluan segera penumpang dan kru,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Suruhanjaya Siasatan Kemalangan Papua New Guinea berkata, mereka bersiap sedia menghantar pasukan penyiasat ke tempat kejadian.

“Kami sedang cuba mempersiapkan pasukan untuk ke sana tetapi saya tidak boleh memberikan sebarang maklumat lanjut,” kata jurucakap suruhanjaya itu. – AFP