Keganasan semakin memun­cak di kubu terakhir pemberontak di Idlib walaupun kesepakatan telah dicapai melibatkan gencatan senjata pada September lalu.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mendedahkan lapan penduduk awam turut terkorban berikutan pergolakan itu, enam daripadanya adalah kanak-kanak, selepas rejim Syria melepaskan serangan udara di bandar Jisr al-Shughur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan ada menerima laporan tentang serangan ke atas pusat-pusat perubatan di lokasi berkenaan.

Perang saudara Syria yang setakat ini mengorbankan 370,000 orang bertukar rumit sejak tercetusnya protes menentang kerajaan pada 2011.

Tentera Rusia dan pesawat rejim sejak penghujung April lalu membedil Idlib yang dihuni tiga juta penduduk awam meskipun satu perjanjian untuk menghentikan serangan besar-besaran di wilayah itu dicapai.

Tentera rejim turut melakukan serangan habis-habisan ke atas kumpulan penentang dan pemberontak yang berpangkalan di beberapa kawasan termasuk di utara wilayah Hama.

Pemantau perang Britain mengesahkan 57 tentera rejim dan 44 pemberontak maut sejak pertempuran itu berlaku Rabu lepas.

“Pertempuran masih berterusan, pesawat tentera rejim membedil kawasan itu,” lapor Ketua Pemantau Perang Britain, Rami Abdel Rahman.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres me­ngutuk sekeras-kerasnya serangan udara terbabit dan menggesa agar penduduk dan harta benda mereka serta kemudahan perubatan di kawasan itu diberi perlindungan.

“Beberapa kemudahan perubatan dilaporkan musnah akibat serangan itu termasuk hospital di Maarat al-Numan,” jelasnya.

Dalam pada itu, jurucakap Hayat Tahrir al-Sham, Abu Khaled al- Shami berkata, pemberontak dan kumpulan penentang melancarkan serangan dan mengepung perkampungan Hamameyat serta kawasan berbukit.

Seorang penduduk awam terbunuh dalam serangan dilancarkan Rusia ke atas bandar Latamneh di Idlib.

Lapan orang awam antara 13 yang terkorban selepas sebuah kereta berisi bom meletup di sebuah pusat pemeriksaan di luar Afrin.

Tentera Turki dan proksi Syria merampas Afrin dari puak Kurdish yang dilabel sebagai pengganas selepas beberapa siri serangan udara dan darat yang berlarutan selama dua bulan.

“Enam daripada kesemua mang­sa berasal dari timur Ghouta,” kata bekas penentang, Abdel Rahman.

Tiada pihak tampil meng­a­ku bertanggungjawab ke atas sera­ngan itu namun seorang komander dari puak pro-Ankara menamakan Kurdish sebagai dalang serangan. – AFP