Daily Mail melaporkan, pakar dari Jabatan Biologi Universiti New York dan Universiti Nanjing percaya, letusan gunung berapi membinasakan planet ini semasa zaman Permian Pertengahan.

Letupan yang berlaku di Asia Selatan dekat Myanmar kira-kira 260 juta tahun lalu itu sekali gus menolak teori sebelum ini yang mendakwa Bumi hanya melalui lima peris­tiwa kepupusan.

Ahli sejarah sebelum ini percaya, terdapat lima era geologi yang ditakrifkan sebagai kepupusan dikenali sebagai Ordovician, Devonian Akhir, Permian, Triassic dan Cretaceous.

Kepupusan pertama berlaku kira-kira 540 juta tahun lalu dan disifatkan sebagai yang kedua paling teruk dalam sejarah kerana mengakibatkan hampir 85 peratus daripada kehidupan pupus.

Sementara kepupusan terakhir berlaku pada era Cretaceous yang dikatakan berlaku 66 juta tahun lalu dan sering dipersalahkan mengakibatkan kepupusan dinosaur.

Seorang penyelidik, Prof. Michael Rampino dari Universiti New York dalam jurnal Historical Biology memberitahu, adalah penting bagi mereka untuk mengetahui jumlah kepupusan mega serta menyiasat punca yang mengakibatkan insiden itu.

“Letusan besaran-besaran seperti ini melepaskan sejumlah besar gas rumah hijau, khususnya karbon dioksida dan metana yang mengakibatkan pemanasan global teruk serta mengancam kehidupan laut,” jelasnya.

Menurutnya, insiden letusan gunung berapi di Asia Selatan itu juga dipercayai mendorong kepada pembentukan Emeishan Traps, sebuah formasi batuan dramatik di selatan China.–AGENSI