Pegawai Pentadbir wilayah Hela, William Bando berkata,sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam keganasan yang tercetus antara puak bermusuhan selama tiga hari.

Suku tanah tinggi Papua New Guinea kerap berperang antara satu sama lain sejak berabad lalu namun kebanjiran senjata moden menjadikan pertempuran itu agak kejam.

“Seramai 24 orang disahkan mati dalam tempoh tiga hari tetapi mungkin lebih banyak hari ini.

“Kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pegawai kami yang berada di lapangan,” katanya.

Menurut Bando, beliau juga telah meminta sekurang-kurangnya 100 anggota polis dikerahkan ke tempat kejadian untuk menambah kekuatan pasukan yang hanya berjumlah kira-kira 40 orang.

Insiden itu mengejutkan negara dan Marape, Perdana Menteri baharu dilantik yang berasal dari wilayah tersebut.

Menurut Marape dalam satu ke­nyataan, beliau berikrar untuk meningkatkan kawalan kese­lamatan dan memberi amaran akan bertindak terhadap dalang yang bertanggungjawab.

“Hari ini paling menyedihkan dalam hidup saya. Ramai kanak-kanak dan ibu yang tidak bersalah dibunuh di perkampungan Munima dan Karida, kawasan Parlimen saya,” katanya.

Dalam satu serangan yang berlaku di Karida, enam wanita dan lapan kanak-kanak mati dipercayai ditetak dalam tempoh 30 minit keganasan itu. – AFP