Al Jazeera melaporkan, gencatan senjata itu bermula pukul 4.30 pagi waktu tempatan (9.30 pagi waktu Malaysia) hari ini dan menurut pegawai kerajaan di Gaza, tiada serangan udara tentera rejim ke wilayah Palestin dilaporkan sejak perjanjian itu berkuatkuasa.

GENCATAN SENJATA BERKUATKUASA

Kata pegawai itu, Mesir dan Qatar membantu menjadi perantara dalam menghentikan serangan antara Gaza dan Israel, terburuk sejak November lalu.

Bagaimanapun Israel enggan mengulas mengenai perjanjian itu ketika tentera rejim pada awal hari ini menarik balik kesemua sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.

Malah, tentera mengarahkan penduduk di selatan Israel meneruskan rutin harian mereka seperti biasa ketika Kementerian Pengangkutan Israel me­ngumumkan semua perkhidmatan bas dan kereta api di selatan akan beroperasi semula secara normal.

Bunyi siren yang menghantui penduduk sejak hujung minggu lalu sama sekali tidak kedengaran sehingga pagi ini.

Menurut kumpulan pejuang Jihad Islam, gencatan senjata itu dicapai selepas Israel bersetuju untuk mengurangkan sekatan di Semenanjung Gaza antaranya mengurangkan had menangkap ikan kepada 12 batu nautika dari Gaza dan pemulihan bekalan elektik dan minyak.

320 LOKASI PEJUANG 
PA­LESTIN DISERANG

Tentera Zionis mendakwa lebih 600 serangan roket dilancarkan dari Gaza dan 150 daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan anti peluru berpandu Iron Dome.

Israel turut memaklumkan pihaknya menyerang sebanyak 320 sasaran di Gaza, selain me­laporkan siren amaran yang dibunyikan sejak hujung minggu lalu sudah dihentikan sejak awal pagi ini dan tidak melancarkan serangan udara baharu ke Gaza.

Dalam pada itu, seorang komander Hamas, Hamad al-Khodori, 34, merupakan antara penduduk Palestin yang terbunuh termasuk seorang lagi bayi perempuan berusia empat bulan dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel semalam.

Bayi perempuan berkenaan, Maria Ahmad Ramadan al-Ghazali, terbunuh bersama bapanya, Ahmad Ramadan al-Ghazali, 31, apabila kediaman mereka menjadi sasaran peluru berpandu Israel.

APA DOSA ANAK SAYA?

Terdahulu, seorang wanita Palestin, Rasha Abu Arar yang kehilangan anak perempuannya, Seba, 14 bulan dalam serangan udara tentera Israel kelmarin menceritakan bagaimana dia terpaksa menyaksikan detik-detik ter­akhir anaknya.

“Saya memeluk kuat anak saya ketika roket tentera Israel meletup berhampiran rumah kami, namun serpihan senjata itu mencederakan tangan saya dan menembusi badan Seba.

“Seorang lagi anak perem­puan saya yang berusia tiga tahun juga cedera parah akibat letupan itu dan kini ditempatkan dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital,” katanya sambil menangis.

Rasha yang terlalu sedih de­ngan insiden itu mempersoalkan apa dosa anaknya sehingga mereka menjadi korban dalam konflik yang tidak seharusnya berlaku.

“Adakah anak-anak saya melepaskan serangan roket ke arah Israel?,” soalnya.

Turut maut dalam insiden itu adalah ibu saudara Seba yang sarat hamil selepas serpihan peluru berpandu tersebut menembusi lehernya.

TRUMP SOKONG SERANG PALESTIN

Dalam perkembangan berkai­tan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan bahawa ‘tindakan keganasan terhadap Israel akan menyebabkan lebih banyak kesengsaraan’ sambil merujuk kepada Palestin.

Trump turut melahirkan sokongan 100 peratus terhadap Israel yang disifatkan sentiasa mempertahankan penduduk­nya daripada keganasan pergerakan Hamas dan Jihad Islam.

Sementara itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menegaskan bahawa pergerakan itu ‘tidak berminat untuk mencetuskan perang baharu’ dengan Israel.

Ismail menerusi kenyataan berkata, Hamas sudah bersedia untuk ‘bertenang’ sekiranya Israel menghentikan serangan dan ‘mula bertolak ansur’. – AFP/AGENSI