Daily Mail melaporkan, Uclan mengambil tindakan tersebut setelah menerima aduan ramai mengenai tingkah laku Sebastian Walsh yang menyua­rakan pandangan kontroversi­nya ketika kuliah diadakan.

Penuntut tersebut menentang penyediaan makanan halal dan menyifatkannya sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan.

Beliau turut bersumpah tidak akan makan di restoran KFC dan Subway kerana tidak bersetuju dengan proses penyembelihan haiwan.

Jurucakap Uclan berkata, pihak universiti berbangga de­ngan komuniti dalam kampus yang merangkumi pelbagai budaya, kepercayaan, warganegara dan agama.

“Kami menghargai kepelbagaian ini dan serius dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan harmoni kepada semua. Walsh jelas melanggar beberapa peraturan universiti dengan mengeluarkan kenya­taan yang tidak sepatutnya dan menyentuh sensitiviti ketika proses kuliah dan seminar berjalan,” katanya.

Jelas jurucakap itu, sejajar dengan prosedur yang ditetapkan pihak universiti, siasatan telah dijalankan dan sesi pendengaran melibatkan pelajar tersebut juga telah dilakukan.
Uclan menambah, Walsh digantung sementara daripada mengikuti pengajian untuk baki akademik tahunan.

“Beliau akan dibenarkan kembali setelah berjaya menyem­purnakan kursus latihan budaya dan kepelbagaian yang dilaksa­nakan nanti,” jelasnya.