Kepulan gas pemedih mata dirakam di beberapa kawasan petang ini ketika puluhan ribu peserta tunjuk perasaan yang memasuki minggu kesembilan menukar taktik apabila mengganggu pengangkutan awam utama termasuk kapal terbang dan tren.

CARRIE LAM
CARRIE LAM 

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dalam penampilan yang jarang berlaku sejak krisis bermula memberi amaran kepada penunjuk perasaan bahawa beliau tidak tunduk kepada tuntutan mereka.

“Mereka secara serius merosakkan undang-undang dan keamanan Hong Kong dan menekan bandar ini menuju ke arah situasi berbahaya. Mereka sedang cuba memusnahkan Hong Kong,” katanya.

SISTEM PENGANGKUTAN LUMPUH

Sekurang-kurangnya lapan perkhidmatan tren termasuk ekspres lapangan terbang ditutup sepenuhnya atau sebahagian.

Beberapa penunjuk perasaan dirakam menghalang pintu masuk tren bawah tanah sehingga mencetuskan pergaduhan dengan penumpang lain yang bergegas ke destinasi mereka.

Sekurang-kurangnya 200 penerbangan turut dibatalkan dan hanya satu daripada dua landasan di lapangan terbang utama Hong Kong beroperasi dengan media mendakwa pekerja premis turut menyertai bantahan tersebut.

Sejumlah penunjuk perasaan turut cuba menyekat aliran trafik mengakibatkan kesesakan lalu lintas namun berjaya dihalang pihak berkuasa.

PULUHAN RIBU BERTEMPUR, POLIS LEPAS GAS PEMEDIH MATA

Menurut penganjur, kira-kira 14,000 orang daripada lebih 20 sektor menyertai perhimpunan luar biasa kali ini dengan kebanyakannya memakai topeng muka mengelak tindakan disiplin.

Polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di beberapa lokasi di Hong Kong petang ini selepas mereka mengadakan tujuh perhimpunan serentak, membataskan sumber polis mengawal keadaan.

Kata polis, gas pemedih mata dilepaskan bagi menyuraikan penunjuk perasaan berhimpun di kawasan Admiralty, menyekat lebuh raya berhampiran kompleks kerajaan, Harcourt Road dan vandalisme di kompleks kerajaan Pusat.

Penunjuk perasaan turut melontar pelbagai objek termasuk payung ke arah polis di daerah Wong Tai Sin, dibalas polis dengan semburan lada,

Polis mendakwa, sebanyak 420 penunjuk perasaan ditahan sejak 9 Jun dan didakwa atas pelbagai kesalahan. – AFP