Sebuah rakaman video menunjukkan dua kumpulan penerjun memakai baju merah dan biru mewakili kumpulan Gryffindor dan kumpulan Ravenclaw daripada filem berkenaan, mengepit penyapu masing-masing sambil mela­yang di udara.

Menurut laporan Mail Online, mereka dilihat ‘berkejaran’ di udara untuk mendapatkan tiga biji bola iaitu sebiji Quaffle dan dua biji Bludgers untuk dibaling ke dalam gegelung yang dipegang oleh dua penerjun lain.

Bagaimanapun bola emas, Golden Snitch yang menjadi rebutan kumpulan ahli sihir semasa permainan Quidditch dalam filem Harry Potter tidak kelihatan dalam rakaman video itu.

Terdahulu, dengan berlatarkan muzik Hedwig daripada filem ber­kenaan, kumpulan penerjun udara itu dilihat bersiap sedia dengan penyapu masing-masing untuk melakukan terjunan daripada sebuah kapal terbang.

Sebuah peti purba dilihat terbuka menunjukkan tiga biji bola ber­kenaan dan seorang penerjun melepaskan Quaffle di udara sambil penerjun lain melompat keluar dari kapal terbang berkenaan untuk mendapatkan bola tersebut.

Namun, semua aksi penerjun udara itu sebenarnya merupakan lakonan untuk iklan sebuah syarikat telefon ETB di Colombia.

Peminat filem Harry Potter se­ring mengadaptasi permainan Quidditch di padang, malah beberapa universiti mempunyai pasukan masing-masing untuk perlawanan Quidditch bagi merebut Piala Dunia Muggle Quidditch.