Tanpa disangka-sangka bumi Palestin yang sebelum ini subur dan makmur di bawah pemerintahan kerajaan Islam lebih 1,000 tahun akhirnya bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri kepada umat Islam apabila kaum Zionis Yahudi melakukan operasi penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai sehingga menyebabkan mereka mencari tempat perlindungan di negara berhampiran.

Biarpun peristiwa ini telah berlaku 71 tahun lalu, tragedi hari Nakba telah mengubah sepenuhnya kehidupan rakyat Palestin daripada hidup dalam keadaan aman kepada menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Namun begitu, berbeza dengan kaum Yahudi tarikh 15 Mei tahun yang sama disambut dengan penuh kegembiraan atas kejayaan menubuhkan sebuah negara haram bernama Israel.

LATAR BELAKANG 
PERISTIWA NAKBA

Gerakan untuk mengusir penduduk Palestin telah bermula seawal abad ke-19 apabila kaum Yahudi yang hidup berselerak tanpa negara telah menubuhkan sebuah gerakan bernama Zionis yang diasaskan oleh seorang lelaki Yahudi bernama Theodor Herzl. Gerakan ini yang berpusat di Eropah menyasarkan untuk memiliki sebuah negara merdeka untuk bangsa Yahudi.

Pada tahun 1886, Herzl telah menerbitkan sebuah risalah yang menerangkan mengenai asas ideologi politik Zionis iaitu mewujudkan negara Yahudi sebagai mencari keadilan untuk bangsa tersebut yang didakwa telah ditindas sejak ribuan tahun lalu dan sering diserang di Eropah. Meskipun terdapat saranan supaya negara Yahudi ini ditubuhkan di Uganda dan Argentina, akhirnya gerakan ini memilih Palestin untuk menubuhkan negara haram Israel berdasarkan kenyataan daripada kitab Injil bahawa Palestin merupakan tanah yang dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi.

Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyyah, cita-cita Zionis untuk menubuhkan negara haram ini semakin menjadi kenyataan apabila British menandatangani Deklarasi Balfour yang berjanji untuk membantu bangsa Yahudi menubuhkan negara Israel di bumi Palestin.

Rentetan daripada peristiwa itu, tepat pada 14 Mei 1948, British telah keluar secara rasmi dari Palestin dan kesempatan ini diambil oleh Zionis untuk mengisytiharkan penubuhan negara Israel. Biarpun tarikh itu menjadi tarikh kemerdekaan buat mereka tetapi bagi penduduk Palestin, tarikh itu merupakan malapetaka besar. Nakba!

KENAPA BAITULMUQADDIS MENJADI REBUTAN

Dikenali sebagai Yerushalayim dalam bahasa Hebrew dan al-Quds dalam bahasa Arab, kota suci ini antara kota tertua di dunia. Dalam kota ini terdapat empat bahagian iaitu milik Kristian, Muslim, Yahudi dan Armenia. Bagi penganut Kristian, mereka mempercayai kota suci ini menjadi lokasi Nabi Isa disalib dan di bukit Golgota pula dipercayai makamnya berada.

Berbeza dengan penganut Yahudi mereka menganggap bumi Palestin sebagai tanah yang dijanjikan Tuhan kepada mereka. Lebih daripada itu, bangsa ini juga percaya di Bukit Zion yang mana nama Zionis diambil atau sekarang merupakan tapak Kubah Batu merupakan tapak sebenar Temple of Solomon atau Haikal Sulaiman.

Bagi umat Islam pula, Baitulmuqaddis dianggap sebagai tempat yang sangat istimewa kerana menjadi lokasi berlakunya peristiwa terbesar dalam sirah nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj, selain itu Masjid al-Aqsa juga menjadi kiblat pertama untuk umat Islam sebelum ditukar ke Masjidilharam di Mekah.

DERITA

Setelah 71 tahun menderita, penderitaan penduduk Palestin akibat ditindas oleh Israel terus berpanjangan. Paling menyayat hati apabila kisah seorang kanak-kanak perempuan, Aisha Lulu yang meninggal dunia berseorangan selepas rejim Zionis enggan membenarkan kedua ibu bapanya menemani anak kecil itu ketika dia menjalani pembedahan akibat menderita ketumbuhan otak di hospital.

Walaupun penduduk Palestin dilihat berseorangan memperjuangkan nasib mereka sebenarnya banyak individu, pertubuhan dan negara yang menentang penindasan rejim Zionis ini.

Keberanian negara Iceland menggunakan pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision sebagai protes menentang penjajahan Israel di wilayah Palestin apabila kumpulan dari negara itu, Hatari memegang kain rentang menyokong Palestin ketika keputusan pertandingan diumumkan menunjukkan masih ramai yang bersimpati dengan nasib penduduk Palestin.

Tidak ketinggalan turut bersimpati dengan nasib malang menimpa penduduk Palestin ialah bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo yang telah menyumbangkan wang tunai sebanyak AS$1.5 juta (RM6.26 juta) kepada Palestin menerusi Yayasan Kebajikan Onwadan sebagai sokongan kepada mereka sempena menyambut Ramadan tahun ini.