Bangkok Post melaporkan, perkara itu dimaklumkan selepas pasukan keselamatan dan perisikan mengadakan pertemuan dalam satu perjumpaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwon.

Menurut sumber, pihak berkuasa percaya serangan itu dikaitkan dengan peluasan operasi pemisah namun serangan tersebut mungkin mendapat sokongan politik dan beberapa kumpulan lain.

Selain itu, Ketua Polis Thailand, Chakthip Chaijinda berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesemua insiden letupan itu dilakukan oleh kumpulan pemisah sama yang mengebom tujuh wilayah selatan serta te­ngah negara ini pada Ogos 2016.

“Biarpun kumpulan sama yang melancarkan serangan, kali ini mereka menggunakan ahli baharu yang tidak mempunyai rekod jenayah untuk melakukan pengeboman di Bangkok.

“Pihak berkuasa setakat ini mampu mengawal keadaan dan sudah melantik timbalan saya untuk mengetuai siasatan,” katanya.

Tujuh bom diletakkan di lima lokasi di Bangkok dan Nonthaburi semalam dengan lima daripadanya dilaporkan meletup.

Beberapa insiden kebakaran juga dilaporkan berlaku di tiga lokasi di Bangkok dan satu daripadanya dipercayai angkara khi­anat.

Dua suspek dari Narathiwat juga ditahan semalam dan polis menemukan kaitan mereka dengan kumpulan pemisah dari selatan negara ini. – AGENSI