Kerajaan memberi jaminan 'pulang dengan selamat' kepada tokoh pembangkang itu, selepas Besigye dikatakan tidak dapat menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Nairobi ke Entebe.

Pada bulan Februari yang lalu, Besigye kalah kepada penjawat kini, Yoweri Museveni dalam pilihan raya presiden yang didakwa Besigye ia telah dimanipulasikan.

Museveni yang telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 1986 akan terus memegangnya untuk satu penggal lagi selama lima tahun.

Besigye yang mengetuai Forum Perubahan Demokratik mendapatkan rawatan di Nairobi selepas matanya disembur dengan air lada ketika protes dua minggu lalu.

Menurut pembantu Besigye, dia dihalang daripada menaiki kapal terbang di Kenya kerana pegawai yang bertugas dimaklumkan yang kapal terbang itu tidak dibenarkan mendarat di Uganda jika ketua pembangkang itu menaikinya.

"Kerajaan tidak ada kaitan dengan kepulangan Besigye dari Kenya atau dari mana-mana negara lain," ujar jurucakap kerajaan, Fred Opolot.

Besigye telah mengadakan protes menentang kenaikan harga minyak dan beberapa keperluan harian yang lain dan ia masih berjalan selama beberapa bulan yang lalu.

Polis dan tentera telah menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup serta peluru getah untuk meredakan kumpulan pembantah tersebut.

Museveni telah memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap pihak pembangkang yang didakwanya dibiayai oleh orang luar. - dpa