Arahan yang berkuat kuasa Ahad lalu itu memberi kelegaan kepada pekerja-pekerja pusat beli-belah, hotel dan pramugari syarikat penerbangan yang telah terlalu lama menderita kerana peraturan tersebut.

Jabatan Buruh mengarahkan majikan supaya melaksanakan penggunaan ‘kasut yang selesa dan praktikal’ bagi meningkatkan kesihatan pekerja.

Melalui arahan itu, kasut yang mempunyai tumit setinggi 2.54 sentimeter atau lebih tinggi daripada itu tidak dibenarkan dipakai kecuali atas kehendak pekerja terbabit.

Jurucakap Persekutuan Kesa­tuan Buruh, Alan Tanjusay berkata, tindakan majikan sebelum ini yang mewajibkan pekerja wanita memakai kasut bertumit tinggi merupakan bentuk seksaan dan perhambaan serta penindasan terhadap pekerja yang terpaksa bertugas selama 10 jam sehari.

“Tindakan majikan itu juga berbentuk seksisme kerana mereka (majikan) berpendapat wanita yang memakai kasut bertumit tinggi akan kelihatan lebih tinggi dan seksi serta lebih menarik malah boleh melariskan jualan sedangkan hakikatnya golongan wanita menderita,” katanya.

Jabatan tersebut turut menegaskan golongan kerani dan pengawal ke­selamatan wanita yang diwajibkan memakai kasut bertumit tinggi terpaksa menanggung kesakitan kaki, otot dan tekanan pada sendi yang berbahaya.

“Kasut untuk bekerja seharusnya tidak ‘menggigit’ kaki atau jari kaki, berpadanan dengan kaki dan tidak mudah tergelincir selain mempunyai kusyen yang menyokong lengkungan kaki sama ada bertapak leper atau bertumit rendah dan lebar,” lapor jabatan tersebut.

Selain itu, jabatan ber­kenaan mengarahkan majikan memberi para pekerja mereka tempoh masa untuk berehat atau duduk bagi mengurangkan tempoh mereka berdiri atau berjalan.

Menurut Tanjusay, kesatuan-kesatuan buruh telah melobi peraturan itu sejak bulan lalu ekoran rungutan yang diterima daripada jurujual, penyambut tetamu hotel wanita dan pramugari. – AFP