Ini termasuk bantuan menyediakan kemudahan sekolah, pusat asuhan untuk anak-anak yatim, bantuan kewangan kepada keluarga hilang keupayaan untuk sara hidup dan program korban yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Wakil penduduk di Tell Mannas, di daerah Maarat-ul Nu’man, Abdul Rahman Al Ghaphur berkata, kehadiran agensi bantuan kemanusiaan Malaysia iaitu Syria Care merupakan yang pertama seumpamanya di kawasan itu.

Katanya, sebelum ada agensi lain masuk ke Maarat-ul Nu’man, tetapi tidak ada yang sampai ke Tell Mannas.

“Ini adalah kali pertama kami menerima bantuan dan sumbanga. Kawasan strategik di sekitar sini boleh dikatakan setiap hari dibom, sebab itu agensi-agensi bantuan tidak masuk ke sini,” katanya kepada wartawan Utusan yang menyertai Misi Kemanusiaan Syria Care 10 di sini.

Syria03
Kanak-kanak pelarian di sekolah anak-anak yatim perempuan di khemah pelarian Kharamah di Atma berhampiran sempadan Turki, - UTUSAN ONLINE/AZNAN BAKAR

Pada misi itu, Syria Care melalui rakan kerjasamanya di Syria telah melaksanakan ibadah korban yang mana daging sembelihan diagih-agihkan kepada penghuni-penghuni khemah pelarian.

Menurut Abdul Rahman, para pelarian terbabit amat menghargai sumbangan yang diberikan melalui Syria Care dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana membantu mereka.

Malah, hampir semua penerima daging korban dan sumbangan terbabit menzahirkan rasa terima kasih mereka kepada rakyat Malaysia.

Selain program korban, Syria Care turut membantu membina sekolah di Atma dan Jisr al Shughour khusus untuk anak-anak yatim.

Pada masa sama bantuan turut diberikan kepada sekolah-sekolah untuk anak-anak pelarian yang memerlukan seperti sekolah untuk anak-anak yatim perempuan di Mukhayyam Karamah.

Syri04
Anak-anak kecil beratur untuk mendapatkan daging korban sumbangan Syria Care di Tel Mannas daerah Maarat-ul Nu'man, Idlib.  - UTUSAN ONLINE/AZNAN BAKAR

Menurut sumber daripada agensi pertahanan awam White Helmet, keadaan pelarian Syria di khemah-khemah pelarian di sempadan Turki tidak bertambah baik kerana jumlah mereka bertambah setiap hari.

Ketika masalah pelarian sedia ada belum selesai, jumlah pelarian baharu pula tiba turut mencetuskan masalah baharu.

“Krisis pelarian Syria ini masih terlalu jauh untuk ia berakhir dan mungkin tidak akan berakhir, malah akan menjadi bertambah serius apabila tiba musim sejuk hujung tahun ini,” kataya. – UTUSAN ONLINE