Lapor Voa News, keadaan itu berlaku susulan cuaca panas yang mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan kekura­ngan hujan di negara itu, sekali gus menyebabkan bekalan air terjejas ke tahap paling rendah.

Jurucakap UNHCR, Andrej Mahecis berkata, beberapa agensi bantuan akan mula menghantar bekalan air bersih dalam tempoh dua minggu akan datang kepada lebih 140,000 pelarian Rohingya yang berlin­dung di tenggara Semenanjung Teknaf. Beliau menganggarkan kos penghantaran bekalan air tersebut berjumlah kira-kira AS$60,000 (RM251,346) sebulan.

“Kami perlu membekalkan kira-kira 20 liter air bersih setiap hari kepada pelarian Rohingya, namun akibat kekurangan bekalan air, kami perlu menurunkan jumlah itu kepada 15 liter sehari bagi setiap pelarian.

“Bekalan air itu sepatutnya mencukupi untuk menampung kegunaan semua pelarian dalam menjalani kehidupan harian mereka,” katanya.

Mahecic turut memaklumkan bahawa, keadaan berbeza bagi pelarian Rohingya di bahagian utara Semenanjung Teknaf apabila hampir 900,000 pelarian yang tinggal di kem Kutupalong mempunyai bekalan air mencukupi.

Dalam pada itu, keadaan kemarau di selatan Semenanjung Teknaf dijangka berlarutan sehingga beberapa minggu lagi dan akan pulih apabila musim hujan bermula pada bulan Jun.

Sementara itu, UNHCR turut membina beberapa kemudahan bagi menadah air hujan, sekali gus boleh digunakan sebagai bekalan air kepada pelarian Rohingya di tenggara Semenanjung Teknaf. – AGENSI