Menteri Luar Bangladesh, A.H Mahmood Ali berkata, pada dasarnya pelarian berkenaan akan ditempatkan di kediaman atau kem sementara.

"Permulaan mereka akan akan tinggal di tempat perlindungan sementara kerana kesuntukan masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terdapat 620,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak Ogos lalu dan kini tinggal di kem pelarian terbesar di dunia selepas tindakan ketenteraan oleh Myanmar di wilayah Arakan yang disifatkan oleh PBB sebagai tindakan penghapusan etnik.

Bangladesh dan Myanmar menandatangani perjanjian penghantaran pulang Khamis lalu yang membuka laluan kepada kepulangan pelarian secara berperingkat.

Di bawah perjanjian itu, Myanmar akan memastikan keadaan di negeri Utara Arakan itu kembali seperti biasa dan menggalakkan pelarian kembali serta dijaga keselamatan mereka.

"Myanmar akan bertanggungjawab kepada sebarang kemungkinan berlaku dan pelarian dibenarkan untuk bergerak bebas di wilayah berkenaan,” katanya.

Oleh kerana kebanyakan rumah Rohingya telah dibakar semasa kekejaman tentera itu, mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa ditempatkan di pusat perlindungan sementara, kata Ali.

PBB bagaimanapun Jumaat lalu membangkitkan rasa bimbang Myanmar tidak mampu memastikan Rohingya dapat kembali ke kampung halaman mereka dengan selamat. - AFP.