Demikian tegas Kementerian Hal Ehwal Luar dan Ekspatriat Palestin mengenai visi ekonomi yang termasuk di dalam sebahagian daripada pelan rundingan damai Asia Barat ‘tajaan’ pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Press TV melaporkan, kementerian itu dalam satu kenyataan menolak sekeras-kerasnya pelan tersebut yang dilabel sebagai Balfour Declaration II, dan bakal dibentangkan esok serta lusa di Bahrain.

“Projek ini tidak membincangkan tentang pembangunan ekonomi negara Palestin dan komponennya, tetapi cuba ‘menghalalkan’ penjajahan dan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Israel.

“Pentadbiran Trump cuba menyekat ekonomi penduduk Palestin menerusi penjajahan Israel dan Palestin tidak akan mencapai kemajuan selagi Zionis masih merampas semua hak kami,” menurut kenyataan tersebut.

Kementerian itu juga menyebut hari demi hari, niat AS terhadap penduduk Palestin semakin terserlah dan boleh disamakan dengan versi baharu Deklarasi Balfour yang secara terang-terangan menafikan kewujudan Palestin.

Deklarasi Balfour dimeterai pada 2 November 1917 dan disifatkan sebagai antara perjanjian paling kontroversi serta dipertikaikan dalam sejarah dunia Arab.

Deklarasi itu menyaksikan Zionis bercita-cita untuk mewujudkan negara Yahudi menjadi kenyataan, ketika Britain memberi jaminan untuk ‘mewujudkan rumah bagi orang Yahudi’ di bumi Palestin.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan pentadbiran Trump sebenarnya ‘menghasilkan semula’ konflik Israel-Palestin dengan menggunakan cara baharu dan tidak berniat untuk menyelesaikannya.

Dalam perkembangan sama, beberapa pakar analisis ekonomi menyifatkan rancangan pembangunan ekonomi tersebut sebagai ‘gagal menyelesaikan masalah utama yang memundurkan ekonomi penduduk Palestin’.

Apabila dokumen ekonomi itu didedahkan, banyak pihak mendapati pelan setebal 40 muka surat itu tidak mengandungi perkataan bersifat politik seperti ‘penjajahan, kebebasan, persamaan dan sekatan’.

Pakar analisis dan bekas penasihat undang-undang rundingan damai Palestin, Diana Buttu al-Haifa berkata, ‘kehilangan’ kesemua perkataan tersebut secara tidak langsung menunjukkan apa yang AS ingin lakukan.

“Pelan itu mungkin menarik minat golongan yang sukakan isu-isu ekonomi, namun bukan untuk penduduk Palestin yang sehingga kini hak dan kebajikan mereka ditindas rejim Zionis,” katanya seperti dilaporkan al-Jazeera.

Jelas Diana, dana akan digunakan untuk membangunkan sebanyak 179 projek infrastruktur dan perniagaan, termasuk memajukan sektor pelancongan Palestin.

Namun, pelan itu tidak menyentuh langsung mengenai kebebasan untuk penduduk Palestin yang sekian lama dizalimi Zionis.

“Adakah Israel akan membenarkan kesemua rancangan ini dilaksanakan? Terutamanya untuk kebaikan penduduk Palestin? Sudah pasti tidak. Adakah Israel akan benarkan pelan ini dilaksanakan? Tidak, dan Zionis juga tidak akan biarkan pembangunan ekonomi dilakukan,” jelas Diana.

Seorang lagi pakar analisis, Yara Hawari pula menyatakan, pelan ekonomi tersebut mengandungi banyak idea lama dan tiada yang baharu.