Portal berita News Sky mela­porkan, peguam hak asasi manusia, Wayne Jordash berkata, tanpa usaha dan tumpuan untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan, jenayah penindasan terhadap Rohingya akan terus berlaku.

“Kami dapat rasakan bahawa pasukan tentera Myanmar akan terus menindas etnik Rohingya kerana pihak berkuasa negara itu berpendapat mereka kebal dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Namun, Jordash menegaskan bahawa perkara itu tidak akan menghalang beliau dan rakan-rakannya untuk terus mendesak ICC mengambil tindakan serta menghukum pihak yang bertanggungjawab.

ICC bagaimanapun tidak boleh mengambil sebarang tindakan jika Myanmar enggan atau tidak bersedia menghukum pihak yang didakwa melakukan jenayah merentasi sempadan.

Selain itu, kumpulan peguam berkenaan juga mendakwa anggota tentera Myanmar memasu­ki kawasan sempadan Bangladesh yang merupakan negara anggota ICC untuk menindas etnik Rohingya.

Jelas Jordash, pihaknya akan mempertahankan bahawa berlaku penindasan berterusan terhadap etnik Rohingya dan ICC perlu meneliti semua kes jenayah yang melibatkan pihak berkuasa Myanmar di Bangladesh.

Dalam perkembangan lain, keadaan angin kencang dan hujan lebat memusnahkan kira-kira 500 buah rumah di pekan Shwe Pyi Tha di Yangon.

Cuaca ekstrem itu juga menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga terputus bekalan elektrik dan sedang menghala negeri Rakhine yang merupakan kawasan penempatan Rohingya.

Namun, tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini. – AGENSI