Menurut Penyelaras Kemanusian PBB Palestin, Jamie McGoldrick, mereka memerlukan lebih pembiayaan walaupun berdepan hakikat menerima dana yang rendah.

Keperluan itu katanya berdasarkan Pelan Respons Kemanusiaan 2019 yang menyenaraikan 203 projek untuk dilaksanakan 88 kumpulan berbeza termasuk agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan.

Rancangan itu mengutamakan 1.4 juta rakyat Palestin yang kebanyakan memerlukan makanan, penjagaan kesihatan, perlindungan, air dan sistem kawalan kebersihan.

“Pertubuhan ini berdepan masalah yang tidak pernah dihadapi termasuk pembiayaan rendah dan peningkatan sera­ngan bantuan kemanusiaa.

“Meskipun lebih banyak lagi bantuan yang diperlukan, pelan ini mencerminkan secara realistik apa yang boleh dilaksanakan dengan kekangan peruntukan,” kata McGoldrick dalam kenya­taan bersama, hari ini.

Kenyataan itu dibuat menje­lang pelancaran rayuan bantuan di Ramallah, di wilayah dijajah Israel di Tebing Barat.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) memotong peruntukan kepada Palestin termasuk agensi PBB yang menyediakan perkhidmatan kepada 5 juta pelarian negara itu.

AS menjanjikan AS$365 juta (RM1.5 bilion) pada tahun ini namun hanya membuat bayaran pertama sebanyak AS$60 juta (RM251 juta) sebelum mengumumkan penangguhan sumbangan pada masa hadapan.

Langkah itu dilihat untuk memberi tekanan kepada ke­pimpinan Palestin untuk memasuki proses rundingan damai dengan Israel. – REUTERS