Channel News Asia melaporkan, seorang mangsa, Sauddin Lapojo berkata, sudah lama tiada staf kemanusiaan datang ke tempat perlindungan di Petobo selepas bencana itu melanda pada 28 September tahun lalu.

Katanya, sudah beberapa bulan lamanya sejak bekalan makanan terakhir diagihkan kepada 1,630 keluarga yang tinggal di tempat perlindungan yang besar itu.

“Saya kehilangan semuanya yang dimiliki sebelum ini. Rumah saya, ternakan, kebun dan motosikal,” katanya.

Keadaan kehidupan di tempat perlindungan Petobo dengan hanya keperluan sangat asas seperti struktur kayu seperti asrama dengan beratapkan tin.

Setiap bangunan dibahagikan dengan sembilan bilik yang memiliki satu pintu dan tingkap kecil bagi pengudaraan.

Bagi seorang mangsa, Basmin Ntosa memberitahu, kerajaan hanya memperuntukkan satu bilik berkeluasan 12 meter persegi bagi setiap keluarga tidak kira berapa jumlah mereka.

Jelasnya lagi, bilik seluas 12 meter persegi itu terlalu kecil untuk keluarganya seramai 10 orang.

“Pada waktu siang, kami seperti tinggal dalam ketuhar,” kata Basmin.

Sementara itu, kerajaan tempatan berjanji akan mengatasi masalah kediaman mangsa gempa dalam masa terdekat.

“Kami telah menemukan lokasi sesuai untuk kediaman tetap dan bila semuanya sedia, kami akan mula membinanya. Sebanyak 10,000 rumah masih diperlukan,” kata Setiausaha Wilayah Sulawesi Tengah, Mohamad Hidayat Lamakarate. – AGENSI