Press TV melaporkan, ujian itu bagi membolehkan rejim Zionis ‘mempelajari’ senjata jenis apakah yang paling kuat bagi mendepani musuh.

Profesor Nadera Shalhoub-Kevorkian dalam kuliahnya di Columbia University mendakwa, Israel melakukan ujian senjata terhadap kanak-kanak Palestin dan wilayah Palestin dijadikan sebagai ‘makmal bagi industri keselamatan Israel’.

Pensyarah kerja-kerja sosial di universiti itu mendakwa memperoleh maklumat tersebut melalui saksi dalam kalangan anak-anak muda Palestin yang menyatakan tentera Israel secara khusus menyasarkan generasi muda untuk ‘ujian’ itu.

“Tentera Zionis menguji apakah bom yang patut digunakan.

“Sama ada bahan letupan itu diletakkan dalam beg plastik atau beg pakaian, sama ada memukul kami dengan raifal atau menendang kami dengan kasut but mereka,” kata seorang remaja bernama Muhammad.

Kuliah Shalhoub-Kevorkian berjudul ‘Violent Technologies in Palestinian Jerusalem’ itu berdasarkan kepada penyelidikan yang dilakukannya di Israel semasa tempoh perkhidmatannya di Hebrew University.

Bagaimanapun universiti berkenaan menjelaskan pandangan pensyarah itu adalah tidak mewakili Hebrew University.

ISRAEL CURI ORGAN?

Dakwaan terbaharu terhadap tentera rejim itu menguatkan laporan media sebelum ini yang menyatakan Zionis ‘mencuri’ organ dalaman kanak-kanak Palestin yang dibunuh oleh mereka.

Robrecht Vanderbeeken, seorang ahli falsafah sains, pada Ogos tahun lalu mendakwa, penduduk Semenanjung Gaza sedang ‘mati kelaparan, diracuni, anak-anak diculik dan di­bunuh untuk organ mereka’.

Pada November 2015, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Riyad Mansour berkata, Israel mencuri organ dalaman penduduk Palestin yang dibunuhnya.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, beliau berkata, mayat penduduk Palestin yang dibunuh oleh Israel ‘dikembalikan dengan organ dalaman yang hilang, mengesahkan lagi laporan terdahulu mengenai kecurian organ oleh penjajah’.

New York Times pada Ogos 2014 juga pernah melaporkan broker pemindahan organ Israel telah mengumpul kekayaan melalui pemerdagangan organ.

Pada 2000, Dr. Yehuda Hiss, bekas Ketua Institut Forensik Israel mendedahkan ahli patologi Israel di institut itu didakwa ‘mencuri’ kulit, kornea, injap jantung dan tulang daripada mayat penduduk Palestin tanpa kebenaran ahli keluarga.

LAGI TINDAKAN USIR

Dalam perkembangan lain, tentera Israel telah secara paksa mengusir sebuah keluarga Pa­lestin dari rumah mereka di Baitulmuqaddis yang telah didiami selama beberapa generasi.

Agensi berita Ma’an melaporkan, tentera Israel menyerbu kediaman keluarga Hatem Abu Assab di Aqabat al-Khalidiya berdekatan Masjid al-Aqsa.

Menurut saksi, tentera rejim menyerang anggota keluarga secara fizikal selepas mereka mengepung dan memecah ma­suk ke kediaman tersebut.

Isteri Hatem, Rania berkata, tentera Zionis menahan suami dan anaknya ke lokasi rahsia manakala rumahnya diserahkan kepada penduduk Yahudi.

19 PENDUDUK PALESTIN CEDERA

Di sempadan Gaza-Israel pula, sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin cedera selepas pertempuran meletus di kawasan tersebut, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

“Seorang tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) cede­ra selepas satu bahan letupan dilontar ke arah pagar keselamatan Israel ketika rusuhan di Gaza,” kata tentera Israel.

Susulan kejadian itu kereta kebal milik Israel bertindak memusnahkan dua pos pemeriksaan Hamas di Gaza, sebagai tindak balas terhadap insiden itu. – AFP/AGENSI