Amaran itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat.

Lapor Jerusalem Post, pentadbiran AS merancang untuk mendedahkan perancangan ekonomi dalam pelan damai Palestin-Israel pada persida­ngan itu nanti.

“Bagi mereka yang akan pergi, dan ini adalah keputusan mereka, kami tidak mengiktiraf sesiapa yang bercakap atas nama Palestin. Sekiranya rakyat Palestin tidak berada di situ dan kepimpinan Palestin juga tidak berada situ, mengapa mereka mengambil bahagian?” soal beliau.

Kenyataan Saeb itu susulan kebimbangan memuncak di Ramallah berhubung beberapa negara Arab bersetuju untuk menyertai persidangan itu di sebalik bantahan Palestin.

Seorang pegawai kanan Pa­lestin yang enggan dikenali menjelaskan, golongan Arab memberitahu bahawa mereka berdiri di belakang orang Pa­lestin, namun pada masa yang sama mereka bekerjasama de­ngan pentadbiran AS untuk menjatuhkan Palestin.

“Mengapa negara Arab bertindak membelakangi janji-janji mereka terhadap Palestin di semua sidang kemuncak Liga Arab dan Inisiatif Keamanan Arab pada 2002,” jelasnya.

Selain Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) te­lah mengumumkan penyertaan mereka pada persidangan itu.

Palestin bimbang sekiranya Jordan, Mesir, Qatar dan negara Arab lain turut menghantar de­legasi ke persidangan terbabit.

Dalam perkembangan berlainan, Israel menarik balik sekatan aktiviti perikanan di luar pesisir pantai Semenanjung Gaza hari ini.

Langkah itu dibuat bagi mengelakkan situasi kemanusiaan di kawasan Palestin lebih meruncing. – AGENSI/AFP