Keganasan yang berlanjutan sehingga hari ini menyaksikan sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin termasuk seorang wanita hamil, Falastine Abu Arar, 37, dan bayi perempuannya yang berusia 14 bulan iaitu Saba Abu Arar maut dalam serangan udara tentera Israel.

Tiga penduduk Israel turut terbunuh dalam insiden berbalas serangan itu ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meneruskan serangan udara dan artileri ke Gaza.

12 PENDUDUK PALESTIN, 
3 ISRAEL MAUT

Setakat pukul 9 malam ini, sekurang-kurang­nya 12 penduduk Palestin maut dalam serangan udara tentera Israel.

Menurut saudara mangsa, tentera Israel melancarkan peluru berpandu berhampiran kediaman Falastine dan anaknya menyebabkan sebahagian daripada serpihan senjata tersebut mema­suki rumah dan ter­kena mangsa.

Namun lapor Al Jazeera, perkara itu disangkal oleh tentera rejim Zionis yang mendakwa dua beranak itu maut angkara roket Palestin.

Lapor media Israel, pejuang Palestin melancarkan lebih 400 roket ke arah pekan dan bandar di selatan Israel dan sistem anti peluru berpandu Iron Dome berjaya memintas lebih 250 roket lawan.

Pejabat media Palestin di Gaza berkata, jet pejuang Israel melancarkan lebih 150 serangan udara sebagai tambahan kepada sera­ngagan artileri yang menyasarkan 200 mercu tanda di Genting Gaza termasuk kediaman penduduk, masjid, kedai dan institusi media.

Kementerian kesihatan Gaza melaporkan, sebanyak 40 penduduk Palestin cedera dalam serangan itu.

Selain kematian Falastine dan anaknya, turut terkorban adalah dua orang penduduk awam, Imad Nseir, 22, dan Khaled Abu Qaleeq, 25, yang terkena bedilan serangan udara rejim.

Kumpulan Jihad Islam dalam pada itu mendakwa dua anggota­nya, Mahmoud Issa, 26 dan Fawzi Bawadi, 23, terbunuh dalam konflik terbaharu tersebut.

Menurut polis Israel, seorang penduduk Israel berusia 58 tahun dilaporkan terbunuh akibat ter­kena serangan roket di Ashkelon.

PERSIAPAN RAMADAN TERJEJAS

Selain itu, serangan terbaharu terbabit mengakibatkan persiapan penduduk Palestin termasuk perhiasan yang dipasang bagi me­nyambut Ramadan esok terjejas.

Malah, penduduk Palestin kini bimbang untuk keluar rumah memikirkan keselamatan mereka daripada peluru berpandu rejim.

Insiden pertumpahan darah itu bermula apabila seorang penembak tepat dari kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin menembak pasukan tentera Israel menyebabkan dua anggotanya cedera.

Sehubungan itu, Israel bertindak balas melancarkan serangan udara yang mengorbankan dua anggota pejuang Hamas, selain dua penunjuk perasaan Palestin yang berada di kawasan sempadan turut terkorban.

KEADAAN GAZA 
SEMAKIN TEGANG

Susulan kejadian itu, Hamas dan Jihad Islam melancarkan serangan roket terhadap wilayah Israel sejak awal pagi semalam yang dibalas serangan udara dan artileri oleh tentera rejim yang menggegarkan Gaza City.

Selain itu, tentera Israel juga memusnahkan dua bangunan dipercayai pejabat keselamatan dan perisikan milik Hamas serta pejabat agensi berita Turki, Ana­dolu di Gaza City.

Jurucakap tentera Israel, Lef­tenan Kolonel Jonathan Conricus memaklumkan bahawa, Israel bersedia untuk meningkatkan serangan sekiranya Hamas dan kumpulan pejuang lain terus me­lancarkan serangan roket ke arah wilayah mereka.

Hamas dan Jihad Islam dalam satu kenyataan bersama juga menegaskan bahawa mereka tidak akan berganjak daripada posisi masing-masing dan bersedia untuk menyerang balas jika Zionis terus bertindak agresif.

PALESTIN KECAM SERANGAN UDARA ISRAEL

Dalam pada itu, Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas dan Pre­siden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik hebat sera­ngan udara yang dilancarkan oleh Israel.

Kata Mahmoud, sikap berdiam diri oleh komuniti antarabangsa menyebabkan Israel ‘tidak takut’ untuk meneruskan penindasan terhadap Palestin.

Recep Tayyip turut membidas serangan udara Israel yang memusnahkan premis yang me­nempatkan pejabat agensi berita Anadolu di Gaza.

Selain itu, Mahmoud juga me­ngulangi pendirian tegasnya bahawa Palestin akan terus menolak ‘perjanjian abad ini’ yang diusulkan Amerika Syarikat (AS), selepas penasihat kanan Presiden Donald Trump, Jared Kushner memberi gambaran bahawa tiada penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

ISRAEL RANCANG SERANGAN DARAT KE ATAS GAZA

Tentera darat Israel dalam pada itu dilapor bersedia menceroboh Gaza selepas pejuang Palestin terus melancarkan lebih 450 serangan roket ke wilayah itu selepas tiga penduduknya maut dalam serangan tersebut.

Netanyahu berkata, Hamas akan membayar harga yang mahal kerana menyerang wilayah itu dan mengarahkan pasukan tentera terus menyerang Genting Gaza dan mengukuhkan kedudukan tentera di sekitar semenanjung itu dengan kereta kebal, artileri dan infrantri.

IDF pada masa sama sedang bersiap sedia untuk menceroboh Gaza dan kekacauan itu akan berlarutan selama beberapa hari. –AGENSI