Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Farida atas sebab-sebab keselamatan adalah doktor sakit puan terakhir yang masih lagi berkhidmat di timur Aleppo.

Mail Online yang menemui Dr.Farida pada Oktober lalu mela­porkan, wanita itu menyambut kelahiran sekurang-kurangnya 10 hingga 15 bayi sehari.

Walaupun sentiasa ketakutan, dia yang tinggal di Aleppo bersama anak perempuannya, 8, mempunyai semangat ken­tal untuk mengharungi kehidupan demi wanita mengandung di negara ini.

Dr. Farida berkata, dia bimbang boleh terbunuh seandainya hospital diserang namun apabila terfikir tentang tanggungjawab serta harapan saki-baki penduduk di Aleppo, dia memilih untuk mene­tap di situ.

“Tugas sebagai doktor adalah segala-galanya untuk saya. Se­nyuman ibu dan tangisan bayi sangat bermakna dalam hidup saya.

“Ini bukan satu keputusan yang senang buat kami. Pesawat perang melakukan pembunuhan setiap hari dan tidak ada sesiapa yang boleh membantu,” katanya.

Jelas Dr. Farida, dengan kemahiran dan pengalaman yang ada padanya, banyak negara Arab lain menawarkan gaji lumayan kepadanya.

“Kawan-kawan saya di Dubai dan Qatar juga ada meminta saya ke sana. Tetapi saya tidak mampu untuk ‘lari’ dan lupa pada tanggungjawab saya. Ramai yang memerlukan khidmat saya di sini,” katanya.