Wanita yang enggan dikenali itu dilaporkan menghabiskan cuti selama seminggu untuk bermain permainan video dan hanya berhenti untuk tidur.

Selepas beberapa hari, dia rasa amat sakit pada tangan kanan, namun terus bermain sehingga semua jarinya menjadi kaku dengan kedudukan seperti memegang telefon pintar dan usahanya untuk melenturkan semua jarinya gagal.

Hanya selepas jarinya itu benar-benar lumpuh baharulah wanita itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital tempatan dan selepas menjalani beberapa ujian doktor mengesahkan dia menghidap penyakit tenosinovitis.

Penyakit tersebut menyebabkan radang pada selaput berisi cecair (sinovium) yang memba­lut tendon dan tenosinovitis lazimnya akibat ketegangan teruk berikutan penggunaan sendi secara berlebihan atau berulang.

Dalam kes tersebut, penyakit itu akibat tindakan wanita itu menggenggam telefonnya berjam-jam lamanya malah selama beberapa hari berturut-turut, lapor portal Oddity Central.

Namun, wanita berkenaan bernasib baik kerana doktor berjaya melakukan rawatan dan kini dia beransur-ansur pulih tetapi tidak diketahui sama ada dia telah bermain semula permainan video menerusi telefon pintarnya.

Doktor memberi amaran sim­ptom tenosinovitis adalah berbeza mengikut kes dan menasihatkan orang ramai yang obses dengan telefon pintar agar meletakkan telefon seketika bagi merehatkan sendi masing-masing.

Ini merupakan salah satu daripada pelbagai kes perubatan melibatkan telefon pintar di China dan pada tahun lalu, seorang wanita buta sebelah mata selepas bermain telefon tanpa henti selama beberapa hari manakala seorang lelaki mengalami lumpuh empat anggota badan akibat merenung telefon pintar selama dua hari berturut-turut.