Tikus merupakan satu daripada aspek kehidupan tidak menarik di New York apabila kerap berkeliaran selain pihak berkuasa membelanjakan jutaan dolar setiap tahun bagi menghapuskan populasi haiwan perosak itu.

Penyelesaian terbaharu ke atas masalah itu berupa sebuah mesin yang mampu menarik tikus de­ngan umpan dan mengakibatkan pintu perangkap terbuka dan menjatuhkan tikus ke dalam bekas berisi cecair berasaskan alkohol.

“Mesin itu mengakibatkan tikus terperangkap dan lemas serta merta,” kata Presiden Rat Trap Inc, Anthony Giaquinto.

Mesin dinamakan Ekomile itu diimport dari Itali dan beroperasi menggunakan bateri dan menyerupai kabinet dengan tinggi 60 sentimeter.

Tikus akan memanjat tangga pada mesin untuk makan umpan dan sensor menggerakkan tuil perjalanan yang menjatuhkan tikus ke dalam bekas yang mampu memuatkan sebanyak 80 bangkai tikus.

Sebanyak 107 ekor tikus ditemukan mati selepas memasuki mesin itu yang sedang menjalani ujian selama sebulan di kawasan perumahan di Brooklyn.

“Mesin ini agak berperikemanusiaan dan mesra alam,” kata Presiden Borough Eric Adams.

Adams berkata, ujian sebelum ini adalah satu kejayaan dan mesin itu akan diletakkan di beberapa daerah terjejas tikus. – AFP