Pembinaan itu menyaksikan peningkatan sebanyak sembilan peratus daripada purata tahunan sejak 2009 atau 1,935 unit yang dibina dalam setahun.

Lapor Maan News, hampir 73 peratus daripada pembinaan baharu itu atau sebanyak 1,539 unit kediaman dibina di kawasan penempatan timur seperti yang dicadangkan dalam sempadan Inisiatif Geneva.

Selain itu, laporan tersebut memaklumkan sekurang-kurangnya 10 pembinaan baharu dibangunkan di kawasan tanah persendirian milik penduduk Palestin seluas satu hektar, manakala sebanyak 3.7 hektar lagi kawasan terbabit dirampas oleh rejim Zionis.

“Tender pembinaan sebanyak 3,808 unit kediaman dikeluarkan pada tahun lalu iaitu antara yang tertinggi direkodkan dalam tempoh hampir dua dekad.

“Sebanyak 603 tender projek perumahan di bahagian Baitulmuqaddis Timur turut dikeluarkan pada 2018,” menurut laporan berkenaan.

Berdasarkan statistik yang dibuat oleh Peace Now, ketika era pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu iaitu dari 2009 hingga 2018, sebanyak 19,346 unit kediaman mula dibina di kawasan penempatan haram.

Dianggarkan kira-kira 70 pe­ratus daripada pembinaan baharu itu dibangunkan di kawasan timur yang dicadangkan oleh sempadan Inisiatif Geneva, sekali gus menyaksikan terdapat lebih 60,000 penghuni di kawasan penempatan haram Israel.

Data yang diterbitkan dalam Biro Statistik Israel juga menunjukkan, sebanyak 18,502 unit kediaman dibina sepanjang 10 tahun era pentadbiran Ne­tanyahu dan sejak penghujung tahun 2008 sehingga 2017, sebanyak 120,518 penghuni menduduki penempatan haram Yahudi.

ISRAEL LULUS PEMBINAAN 700 RUMAH DI BAITULMUQADDIS

Dalam pada itu, Pentadbiran Sivil Israel meluluskan pembinaan seba­nyak 706 lagi unit kediaman baharu di dua kawasan penempatan di Baitulmuqaddis, tahun ini.

Projek baharu itu juga melibatkan pembinaan beberapa bangunan komersial di kawasan Giafat Mishfat.

Selain itu, pembinaan seba­nyak 235 unit kediaman turut diluluskan di kawasan penempatan al-Nabi Yacoub di utara Baitulmuqaddis.

Peace Now menyatakan bahawa pembinaan sebanyak 14,454 unit kediaman haram di Tebing Barat diluluskan dalam tempoh dua tahun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memegang jawatan tersebut, iaitu meningkat tiga kali ganda.

KEMPEN BOIKOT AIRBNB

Dalam pada itu, satu kempen global menentang syarikat perkhimdatan penyewaan rumah antarabangsa, Airbnb diadakan susulan keputusannya menarik balik untuk tidak menyenaraikan sejumlah unit hartanah di kawasan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.

Kempen global itu menggesa banyak pihak di seluruh dunia supaya menyahaktifkan akaun Airbnb mereka hari ini iaitu bersamaan dengan Hari Nakba.

Sementara itu, ribuan penduduk Palestin dijangka me­nyertai demonstrasi mempe­ringati peristiwa malapetaka 15 Mei yang dikenali sebagai Hari Nakba 1948, hari ini.

Jawatankuasa penganjur Great March of Return di Gaza meminta penduduk Palestin yang menyertai perhimpunan itu mengawal diri mereka dalam demonstrasi yang diadakan secara aman itu.

ISRAEL SEKAT BERIBADAH DI MASJIDL AL-AQSA

Sementara itu, penindasan kejam Israel terhadap penduduk Palestin diteruskan biarpun dalam bulan Ramadan apabila ratusan jemaah dihalau keluar daripada kompleks Masjid al-Aqsa semalam.

Tindakan rejim Zionis itu mendapat bantahan daripada pihak pengurusan Masjid al-Aqsa, Waqf yang menyifatkannya sebagai pencabulan kebebasan beragama, selain organisasi itu membuka sebuah masjid berhampiran untuk membolehkan penduduk Palestin menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.

Selain dihalau keluar, Israel juga mengeluarkan larangan yang menghalang semua penduduk lelaki Palestin berusia bawah 16 tahun dan melebihi 40 tahun mengunjungi Masjid al-Aqsa.

Malah, mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Israel, manakala golongan berumur 16 dan 29 tahun tidak dibenarkan sama sekali memasuki kompleks tersebut. – AGENSI