Berita kematian pemimpin pertama pasca kemerdekaan Zimbabwe itu diumumkan Presiden negara ini, Emmerson Mnangagwa menerusi satu kenyataan dalam ciapannya, hari ini.

"Saya dengan duka citanya mengumumkan pengasas dan bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe telah meninggal dunia.

"Beliau adalah ikon kebebasan, seorang pan Afrika yang mendedikasikan seluruh hidupnya demi pembebasan dan pemerkasaan rakyatnya. Sumbangannya terhadap sejarah negara dan benua ini tidak akan dilupakan," tulis Mnangagwa.

Mugabe bergelut dengan masalah kesihatan dan dirawat di sebuah hospital Singapura selepas digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada November 2017.

Bagaimanapun setakat ini, masih tiada maklumat didedahkan berkenaan punca dan lokasi kematian bekas pemimpin yang mentadbir Zimbabwe selama 37 tahun itu.

Pentadbiran Mugabe sentiasa diingati kerana ketegasannya menghapuskan perbezaan politik dan dasar yang merosakkan ekonomi Zimbabwe.

Bekas tahanan politik itu dilantik sebagai Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya umum pertama negara ini pada 1980 dan menjadi Presiden Zimbabwe tujuh tahun kemudian.

Walaupun mendapat pujian kerana memperluaskan akses kesihatan dan pendidikan kepada penduduk kulit hitam, dakwaan pencabulan hak asasi manusia, skandal rasuah dan kejatuhan ekonomi mencalarkan imej pemimpin itu

Bagaimanapun pada 2017, di tengah-tengah kebimbangan isterinya Grace Mugabe akan menggantikan tempatnya, tentera Zimbabwe membuat keputusan berpaling tadah dan memaksa beliau meletak jawatan. – AFP