The Guardian melaporkan, proses penyelesaian perceraian terbesar di dunia itu akan dibuat dalam minggu ini apabila Bezos bakal menyerahkan kira-kira empat peratus daripada saham Amazon kepada MacKenzie.

JEFF BEZOS bersama Mackenzie ketika masih bergelar suami isteri.
JEFF BEZOS bersama Mackenzie ketika masih bergelar suami isteri.

Jumlah saham itu dianggarkan bernilai AS$38 bilion (RM157 bilion) dan disifatkan sebagai penyelesaian perceraian terbesar dalam sejarah, mengatasi rekod sebelum ini iaitu melibatkan pasangan Jocelyn Wildenstein dan Alec Wildenstein pada 1999.

Ketika itu, pasangan tersebut bercerai dengan jumlah penyelesaian perceraian sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.3 bilion).

MacKenzie, 49, berkahwin dengan Bezos pada 1993, setahun sebelum hartawan itu menubuhkan Amazon.

Wanita itu sudah menandatangani satu surat pengisytiharan untuk mendermakan sebahagian hartanya kepada pihak memerlukan menerusi Giving Pledge iaitu satu program yang diasaskan oleh pe­ngasas Microsoft, Bill gates.

Program itu menggalakkan golongan terkaya di dunia mendermakan harta mereka untuk tujuan amal.

Biarpun menyerahkan pampasan besar kepada bekas isterinya, Bezos masih menjadi individu terkaya di dunia de­ngan jumlah kekayaan sebanyak AS$118 bilion (RM487.7 bilion).

Bezos menerusi Twitternya turut mengucapkan tahniah kepada bekas isterinya dengan menulis ‘MacKenzie akan menjadi seseorang yang hebat dan efektif dalam program Giving Pledge. Saya bangga dengannya’. – AGENSI