Lapor BBC Indonesia, perkara itu diumumkan oleh PBB di Baku, Azerbaijan kelmarin.

UNESCO dalam satu kenya­taan dikeluarkan menerusi laman web rasmi memaklumkan, Sawahlunto adalah salah satu bandar perlombongan arang batu tertua di Asia Tenggara, yang dibangunkan oleh peme­rintahan Hindia-Belanda sejak akhir abad ke-19.

Menurut Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, lombong arang batu terbabit adalah Tapak Warisan Dunia kelima buat Indonesia yang diakui oleh UNESCO.

“Kami bangga warisan budaya kami disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia. Ini bererti tugas kita untuk memulihara warisan budaya semakin dituntut.

“Pada masa yang sama, ini juga memberi cabaran buat kami bagi menunjukkan kepada dunia tentang usaha Indonesia untuk memajukan kebudayaan,” kata Pengarah Kebudayaan, Hilmar Farid.

Sebelum ini, kawasan Candi Borobudur; Candi Prambanan; tapak peradaban manusia purba Sangiran di Sragen dan Kara­nganyar serta sistem saliran Air Subak untuk pertanian di Bali disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Jelas Hilmar, proses untuk mendapatkan status Tapak Wa­risan Dunia untuk Sawahlunto ‘bukanlah mudah’.

Hilmar menyatakan, usul cadangan berkenaan status terbabit perlu melalui tahap inisiatif, senarai tentatif (senarai sementara), pencalonan, penilaian dan keputusan.

Tambahnya, usul untuk kategori itu juga memerlukan kajian yang mendalam.