Kawasan gurun Atacama yang terletak kira-kira 1,200 kilometer ke utara ibu negara Chile, Santiago se­ring menjadi rujukan kepada para ahli astronomi untuk mengkaji bintang berdasarkan keadaan langitnya yang gelap.

Bagaimanapun, penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) murah yang semakin meluas di negara ini dilihat berisiko mencemarkan langit gelap di Chile.

Penggunaan lampu tersebut didakwa boleh meningkatkan pencemaran cahaya sehingga 30 peratus berbanding penghujung dekad lalu.

LED sering digunakan di kediaman, lampu-lampu jalan, papan tanda kedai dan papan iklan.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Science Advances pada Disember lalu menunjukkan pencahayaan global semakin meningkat dengan kadar dua peratus setahun dari tahun 2012 hingga 2016.

Sehubungan itu, Chile mewujudkan satu pertubuhan yang digelar Agensi Perlindungan Kualiti Langit (OPCC) bagi menangani isu pencemaran cahaya.

Tugas utama pertubuhan itu termasuk mencetuskan kesedaran dalam kalangan penduduk di utara Chile mengenai kualiti langit gelap dan kesan negatif terhadap pencemaran cahaya.

Pencemaran cahaya di kawasan tersebut dikhua­tiri memberi kesan kepada ahli-ahli astronomi untuk mengkaji beberapa feno­mena penting termasuk lubang hitam dan letupan bintang besar atau supernova. – AFP