Dalam satu majlis yang diadakan di sini, kesemua mereka menyerah diri secara sukarela dengan harapan hukuman dapat ‘diringankan’ selain berikrar untuk kembali kepada kehidupan lebih baik.

Al-Jazeera melaporkan, sejak Mei tahun lalu, pihak berkuasa keselamatan telah membunuh hampir 100 orang ketika operasi membanteras dadah manakala kira-kira 25,000 yang lain ditahan.

Tahun lalu, Bangladesh me­lancarkan perang terhadap dadah berikutan peningkatan penyalahgunaan bahan terla­rang di negara Asia Selatan yang memiliki 165 juta penduduk itu, kebanyakannya melibatkan pil methamphetamine murah dikenali sebagai ‘yaba’.

Mereka menyerah diri di depan Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan di bandar Teknaf dekat Cox’s Bazar termasuk pengedar dadah dan mereka yang berada di belakang sindiket dadah.

Kesemua mereka turut menyerahkan sejumlah 350,000 pil ‘yaba’ atau ‘ubat gila’ dan berpuluh-puluh senjata api haram.

“Saya membawa hidup ke jalan yang salah dan menyesa­linya. Saya mahukan hidup yang berkat dan menjalani kehidupan lebih baik serta bekerja untuk membina masyarakat yang bebas dadah,” kata Sirajul Islam, salah seorang pengedar dadah yang menyerah diri itu.

Sirajul berasal dari Teknaf, sebuah bandar pesisir yang bersempadan dengan Myanmar yang dikenali sebagai hab penyeludupan ‘yaba’.

Dia dinamakan dalam senarai 1,151 pengedar ‘yaba’ oleh Kementerian Dalam Negeri.

Data Jabatan Pengawasan Narkotik menyatakan terdapat kira-kira tujuh juta orang menggunakan dadah, dengan ‘yaba’ bahan yang paling popular.

Pada Mei tahun lalu, Bangladesh memulakan perang ala-Filipina terhadap dadah selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina mengisytiharkan dasar toleransi sifar terhadap bahan terlarang itu.

“Program serah diri ini adalah sebahagian daripada perang yang berterusan oleh kerajaan terhadap dadah. Mereka yang menyerah diri akan diberi peluang kedua untuk hidup normal.

“Mereka yang belum menye­rah lagi akan menghadapi akibat yang buruk,” kata Asaduzzaman.