Demikian antara pandangan serta kebimbangan yang dilontarkan oleh beberapa pakar ana­lisis politik dan ketenteraan mengenai kerakusan Beijing mengukuhkan penguasaannya di Laut China Selatan.

Lebih buruk lagi, banyak negara kuasa dunia dilihat seolah-olah ‘mendiamkan’ apa yang berlaku.

CNN melaporkan, keada­an itu memberi gambaran Washing­ton serta negara ASEAN boleh ‘dihancurkan’ sama se­perti insiden peperangan antara tentera Jepun dan AS di sebuah pulau kecil di Lautan Pasifik yang dikenali sebagai Saipan ketika era Perang Dunia Kedua.

Dianggarkan 29,000 tentera Jepun di Saipan terbunuh manakala AS pula kehilangan 3,000 anggota tentera dan lebih 10,000 yang lain cedera, insiden yang disifatkan antara ‘saat terpenting’ dalam sejarah perang dunia.

Tidak lama selepas perang di Saipan, AS menguasai tiga pulau lagi di Kepulauan Mariana termasuk Tinian dan Guam selain membina sejumlah landasan pesawat yang boleh memuatkan pesawat pengebom B-29 iaitu yang paling besar ketika era tersebut.

Dalam tempoh beberapa bulan, pesawat pengebom tersebut berjaya ‘melumpuhkan’ Tokyo dan sejumlah kilang yang membantu menghasilkan peralatan perang tentera Jepun.

Kontroversi tuntutan terhadap kawasan pulau dan wilayah perairan Laut China Selatan sudah berlarutan sejak 1940-an sehingga kini dengan menyaksikan China semakin mengukuhkan penguasaannya dalam tuntutan terbabit.

Sepanjang tempoh tuntutan yang masih berlangsung, China dilaporkan giat membangunkan pembinaan di kawasan per­airan serta pulau yang dituntut di Laut China Selatan, termasuk membina sejumlah landasan kapal terbang dan kemudahan ketenteraan.

China menegaskan langkah itu dibuat sebagai usaha mereka mengukuhkan pertahanan negara serta tuntutan yang dibuat.

Namun, kuasa dunia lain terutamanya AS dilihat kurang senang dengan tindakan China yang disifatkan boleh mencetuskan ketegangan serantau, terutamanya kepada negara-negara yang turut membuat tuntutan.

Malah, pelbagai pihak melihat kesemua pembangunan itu memberi peluang kepada China ‘membentuk julat serangan yang lebih besar’.

Pakar analisis ketenteraan di Institut Asia Griffith, Australia, Peter Layton berkata, kemudahan tersebut membolehkan China melancarkan serangan peluru berpandu ke udara ke arah pelabuhan serta lapangan terbang di utara Australia.

Jelas Layton, pangkalan udara tentera Australia iaitu RAAF Base Tindal berhampiran Darwin di utara Australia kini perlu diberi ‘tumpuan pertahanan’ daripada ancaman China.

“Ini adalah satu perubahan yang besar kerana pangkalan udara itu sebelum ini sering dianggap sebagai ‘di luar jangkauan serangan tentera China’,” katanya.

Bekas tentera udara AS dan tenaga pengajar di Universiti Pasi­fik Hawaii, Carl Schuster pula berpendapat, membina landasan di Laut China Selatan secara tidak langsung memberi ruang seluas sehingga 1,609 kilo­meter untuk China menem­patkan pesawat pengebom terbesarnya, H-6K berada dalam posisi bersedia menyerang.

“Dengan mengawal Laut China Selatan, Beijing boleh me­ngukuhkan kuasa kawalan terhadap ruang udara dan perairan di laluan masuk antara Lautan Pasifik, Selat Melaka, Sunda dan Lombok. Maksudnya, China boleh memastikan aktiviti perdagangan maritim dari Lautan Hindi yang merangkumi 45 peratus sektor eksport, 60 peratus bahan mentah import boleh berjalan lancar,” jelasnya.

Selain itu, golongan pakar melihat Laut China Selatan boleh memudahkan kapal-kapal perang Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China kerana tidak perlu pulang ke pangkalan di tanah besar, sebaliknya hanya berlabuh di kemudahan tentera negara itu yang dibina di kawasan berkenaan.

Saipan juga sebelum ini menjadi ‘alat sokongan’ kepada operasi ketenteraan AS di pulau-pulau berhampiran dengan daratan Jepun seperti Okinawa, sekali gus memudahkan mereka me­rancang serangan dan me­ngukuhkan pertahanan.