Dilaungkan oleh Imam Lateef dari Hagley Park, Christchurch, ribuan yang menghadiri majlis memperingati mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di sini Jumaat lalu, berdiam diri tanda menghormati azan.

Kebanyakan kaum wanita yang hadir daripada pelbagai latar belakang juga menunjukkan tanda solidariti kepada umat Islam dengan memakai hijab selain akhbar The Press pula muncul dengan tulisan Arab perkataan ‘Salam’ pada muka depannya berserta senarai 50 nama mangsa yang meninggal dunia akibat serangan tersebut.

Susulan laungan azan tersebut, New Zealand ‘menyepi’ seketika untuk tempoh dua minit pada pukul 1.32 petang dengan bertafakur sebagai menghormati mangsa serangan.

Kira-kira 20,000 orang termasuk Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkumpul di Hagley Park berhampiran Masjid Al Noor di Christchurch sebelum solat Jumaat.

Terdahulu, Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda melalui khutbah solat Jumaat memberitahu, lelaki bersenjata itu telah menghancurkan berjuta-juta hati penduduk di seluruh dunia.

“New Zealand tidak boleh dihancurkan. Hati kami hancur tetapi kami belum musnah.

“Kepada rakyat New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas air mata kamu, untuk haka dan bunga kamu,” katanya.

Menurut Gamal, dunia patut menjadikan cinta dan perpaduan New Zealand sebagai contoh.

“Jumaat lalu, saya berdiri dalam masjid dan melihat kebencian pada mata pengganas yang membunuh 50 orang yang tidak bersalah dan puluhan lagi cedera serta menghancurkan hati berjuta-juta lagi di seluruh dunia.

“Hari ini di tempat sama, saya melihat kasih sayang dan belas kasihan di mata ribuan rakyat New Zealand dan masyarakat seluruh dunia. Pengganas ini cuba meruntuhkan negara kita dengan ideologi jahat,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Gamal turut menyifatkan mereka yang terbunuh dalam serangan kejam tersebut tidak mati sia-sia kerana kejadian itu dunia melihat keindahan Islam dan perpaduan di negara ini.

Gamal menyeru kerajaan di seluruh dunia untuk menamatkan ucapan kebencian.

Selepas perhimpunan tersebut, 26 lagi mangsa termasuk jenazah kanak-kanak berusia tiga tahun, Mucaad Ibrahim dikebumikan di Memorial Park Cemetery, Christchurch. – AFP/AGENSI