Portal berita Stuff NZ me­laporkan, perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang mendedahkan mengenai soal siasat polis terhadap suspek dan pengakuannya mengenai penglibatan lapan yang lain.

Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush sebelum ini mengesahkan hanya enam orang yang ditahan berhubung insiden tersebut, namun kesemuanya dibebaskan kerana tiada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan serangan itu.

Polis juga bertungkus-lumus untuk mengesan tiga lagi suspek yang didakwa terlibat namun pada 16 Mac lalu, Bush mengesahkan suspek melakukannya secara berseorangan.

Brenton Tarrant, 28, warga Australia, ditahan selepas kere­tanya dirempuh kenderaan polis pada pukul 2.02 petang waktu tempatan pada hari kejadian iaitu 15 Mac lalu.

Penahanan itu dibuat 21 minit selepas polis menerima panggilan pertama mengenai serangan di Masjid Al Noor.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menjangkakan puluhan ribu senjata api akan di­serahkan menerusi ’skim beli semula senjata’ selepas Parlimen meluluskan undang-undang berkaitan penggunaan senjata api susulan insiden serangan berkenaan.

Undang-undang tersebut melarang penggunaan serta pengedaran senjata api semi automatik, penjualan komponen yang boleh menukar senjata api kepada semi automatik, peluru dan beberapa senapang, termasuk yang digunakan oleh suspek pengganas terbabit.

Penduduk New Zealand diberikan masa sehingga 30 September ini untuk menyerahkan senjata api kepada pihak berkuasa, selain lebih 300 senjata sudah diserahkan setakat ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Michael Cle­ment berkata, polis tidak dapat menjangkakan berapa jumlah senjata api yang akan mereka terima memandangkan negara ini tidak mempunyai undang-undang yang memerlukan pemilik mendaftarkan senjata api mereka.

“Mungkin puluhan ribu atau lebih,” katanya seperti dilaporkan Reuters.

Berdasarkan unpolicy.org., terdapat kira-kira 1.2 hingga 1.5 juta senjata api di negara ini dan sebanyak 13,500 daripadanya merupakan senjata semi automatik.