Rampasan terbaharu itu turut mengakibatkan berlakunya pertempuran di antara penduduk tempatan dengan peneroka haram Yahudi di kawasan perumahan Silwan yang terletak berhampiran Masjid al-Aqsa.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas saling menunding jari di antara satu sama lain di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sekali gus menyukarkan usaha penyelesaian damai dicapai.

Seorang penduduk yang memiliki tiga buah rumah di Silwan, Mohammed al-Khayat berkata, peneroka haram bertindak memecah kunci rumah terbabit sebelum menggantikannya dengan kunci baharu.

Jurucakap polis berkata, pertempuran berlaku selepas seorang penduduk Palestin cuba memasuki bangunan pangsapuri berkenaan, namun dihalang oleh peneroka haram yang turut menunjukkan dokumen bahawa mereka sudah membeli kediaman tersebut.

Sementara itu, seorang peneroka haram Yahudi yang dikenali sebagai Elad berkata, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Kendall Finance telah membeli hartanah berkenaan, bagaimanapun perkara tersebut dinafikan oleh peguam yang mewakili penduduk Palestin.

Pegawai Perunding Palestin, Saeb Erakat menyalahkan Netanyahu berhubung kejadian berkenaan kerana sering menggalakkan peneroka haram Israel merampas tanah hak milik penduduk Palestin.

"Mereka (peneroka Yahudi) menterjemah ucapan yang disampaikan oleh Netanyahu dalam bentuk tindakan dengan merampas bangunan pangsapuri di timur Baitulmaqdis," jelasnya. - AFP