Dalam kejadian pertama di Gerbang Damsyik dekat Baitulmaqdis, seorang remaja Palestin berusia 20 tahun maut ditembak oleh dua polis selepas mangsa didakwa cuba me­lancarkan serangan pisau.

Tidak lama kemudian, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Raed Hamed, 20, dibunuh tentera Israel yang menuduh mangsa cuba melanggar mereka dalam kejadian di Silwad, timur laut Ramallah.

Kejadian ketiga berlaku di Beit Gajjar dekat Tebing Barat apabila mangsa yang dinamakan sebagai Khaled Taqatqa, 21, ditembak mati oleh pihak keselamatan rejim Zionis yang bertempur dengan penunjuk perasaan.

Tiga insiden keganasan itu menjadikan angka korban dalam kalangan penduduk Palestin meningkat kepada 175 orang sejak konflik di Tebing Barat tercetus pada tahun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Kelab Tahanan Palestin melaporkan lebih 700 penduduk ditahan oleh Israel tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan bagi tempoh yang sama.

Menurut pertubuhan hak asasi itu, jumlah tahanan meningkat mendadak sejak konflik tercetus pada Oktober lalu di Tebing Barat, sekali gus meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap dasar kejam rejim Zionis tersebut.

Susulan itu, Penyelaras Khas PBB untuk Proses Damai Asia Barat, Nickolay Mladenov membangkitkan isu berkenaan dalam ucapan beliau di Majlis Keselamatan PBB kelmarin.

Jelas beliau, individu yang ditahan bawah sistem tersebut perlu didakwa atau dibebaskan dengan segera bagi mengelakkan tahanan melancarkan protes seperti wartawan Palestin, Mohammed al-Qiq yang melancarkan mogok lapar sejak 87 hari lalu.

“Kesihatan Mohammed al-Qiq semakin membimbangkan sejak dia melancarkan mogok lapar bagi membantah sistem perundangan Israel,” katanya.

Lebih 7,000 penduduk Palestin ditempatkan di penjara Israel ketika ini termasuk mangsa tahanan tanpa perbicaraan atau dakwaan. – AFP