Insiden di taman perindutsrian Yancheng itu melibatkan sebuah kilang dimiliki syarikat Tianjiayi Chemical yang menghasilkan bahan kimia mentah termasuk bahan mudah terbakar, anisole.

Letupan itu yang terlalu kuat turut mencetuskan gempa bumi kecil, menumbangkan beberapa bangunan kilang dan memecahkan tingkap kediaman sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

Ratusan pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian apabila tiga tangki kimia dan lima lokasi lain terbakar dan bomba berjaya mengawal kebakaran itu kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan.

Kebakaran itu merebak ke kilang berhampiran dan menurut media tempatan, kanak-kanak di sebuah tadika berhampiran turut cedera ketika 3,000 orang penduduk dipindahkan dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa yang menyi­asat insiden itu berkata, beberapa orang individu ditahan polis bagi membantu siasatan.

Berdasarkan imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan bagaimana letupan itu meranapkan bangunan kilang dan memerangkap pekerja di bawahnya.

Menurut seorang saksi menggunakan nama samaran Xiang berkata, dia amat bimbang tentang tahap pencemaran dan keselamatan mereka di kilang itu sejak sekian lama.

“Kami tahu kami akan ‘diletupkan’ satu hari nanti,” katanya.

Menurut pegawai tempatan, tiada keluarbiasaan dikesan di lokasi letupan sebelum kejadian namun wilayah itu akan melakukan pemeriksaan kecemasan terhadap pengeluar kimia dan gudang lain. – AFP