Lapor Arab News, sebanyak tujuh dron menyerang saluran paip Timur-Barat yang menya­lurkan minyak mentah daripada Wilayah Timur ke pelabuhan Yanbu, di pantai barat.

Serangan yang turut disahkan syarikat minyak Saudi Aramco itu mengakibatkan kebakaran dan kerosakan kecil di stesen nombor 8 dan berjaya dipadamkan tidak lama kemudian.

“Kami telah memadam kebakaran di stesen nombor 8 yang berpunca daripada insiden sa­botaj menggunakan dron bersenjata yang disasarkan terhadap stesen pam 8 dan 9.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat akan menutup sementara saluran paip itu.Tiada kece­deraan atau kematian dilaporkan dan bekalan minyak serta gas tidak terjejas ekoran insiden berkenaan,” kata Saudi Aramco.

Dalam perkemba­ngan berlainan, pe­mimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei (gambar) menolak kemungkinan akan tercetus­nya peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meskipun ketegangan memuncak melibatkan kedua-dua negara.

Menurut Ayatollah, konfrontasi antara AS dan Iran bukanlah berbentuk peperangan ketente­raan tetapi ‘pertempuran keazaman’.

“Pilihan yang pasti bagi Iran adalah penentangan terhadap AS dan dalam konfrontasi ini, AS akan dipaksa berundur. Sama ada kami atau mereka, siapa tahu perang boleh sahaja tidak memihak kepada mereka atau selepas perang,” ujar Ayatollah.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara AS, Michael Pompeo berkata, AS tidak akan melakukan konfrontasi peperangan dengan Iran dan secara asasnya, Washington tidak mahu berperang dengan Iran.

“Kami juga telah menjelaskan kepada Iran sekira­nya kepen­tingan AS diserang, kami akan bertindak balas. Kami mahu Iran bertindak seperti negara normal,” kata Pompeo.– AGENSI